REMBAU: Polis menahan empat lelaki selepas disyaki memiliki senapang angin buatan sendiri dalam serbuan di Kampung Batang Nyamor dan Kampung Padang Lebar, Kendong, di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata kesemua mereka yang berusia 31 hingga 45 tahun itu ditahan antara 10.45 malam dan 12 tengah malam menerusi Op Laras oleh Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah serta Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau.

"Serbuan pertama pada 10.45 malam di Kampung Batang Nyamor menahan seorang lelaki berusia 42 tahun dan merampas selaras senapang angin buatan sendiri berwarna hitam, satu bekas mengandungi bebola besi serta seunit mesin pemotong besi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata serbuan kedua pada 11.10 malam di kampung sama menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan menemukan selaras senapang angin buatan sendiri berhulu kayu.

Katanya serbuan seterusnya kira-kira 20 minit kemudian di kampung sama turut menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dan merampas selaras senapang angin buatan sendiri berhulu kayu, satu beg kecil berwarna merah jambu mengandungi 44 bebola besi serta sehelai seluar berwarna hijau.

Hazri berkata dalam serbuan pada 12 tengah malam di Kampung Padang Lebar pula pihaknya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dan merampas selaras senapang angin buatan sendiri, pelbagai jenis peluru antaranya sekotak peluru berwarna putih, 23 butir peluru berwarna putih jenis Lg 67 mm serta sekotak peluru warna kelabu jenis Winchester Super X.

Beliau berkata kesemua lelaki itu kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

-- BERNAMA