KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Damai Perdana, Batu 9 Cheras di sini, pada 9 April lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kesemua suspek berumur 19 hingga 28 tahun itu ditahan reman hingga esok bagi membantu siasatan.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 11.40 malam pada hari kejadian membabitkan pergaduhan beberapa lelaki di hadapan sebuah restoran yang menyebabkan seorang lelaki berusia 27 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Kajang bagi menerima rawatan.

“Bagaimanapun mangsa dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pada hari yang sama dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

 “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Insp Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sejak lewat malam tadi, sebuah video berdurasi 30 saat berhubung kejadian pergaduhan itu tular di media sosial yang memaparkan beberapa lelaki bergaduh dengan membaling dan merosakkan kerusi restoran.

-- BERNAMA