Empat mati ditembak ahli keluarga sendiri selepas berlaku pertengkaran antara mereka dalam kejadian di sebuah kilang memproses ayam di Batu Maung, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.55 pagi, seorang wanita berusia 55 tahun ditembak anaknya sendiri dari jarak dekat.

Turut ditembak anak lelakinya berusia 27 tahun, cucu lelaki berusia dua tahun dan seorang lelaki berusia 50 tahun, yang juga pemilik kilang memproses ayam tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Razaruddin Husain berkata seorang lelaki berusia 32 tahun yang mempunyai kaitan dengan keluarga berkenaan dipercayai menembak kesemua mangsa.

Semua mangsa dipercayai sedang tidur di bilik dalam kawasan kilang ketika suspek masuk.

Berlaku pergaduhan kecil apabila mangsa enggan menyerahkan wang yang diminta suspek.

Suspek yang bersenjatakan pistol kemudian bertindak melepaskan enam das tembakan dan melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda milik pengusaha kilang.

Polis berjaya menjumpai kenderaan yang digunakan suspek di Bukit Mertajam dan usaha menjejaki suspek masih diteruskan.