KUANTAN: Seorang wanita bersama lima anaknya yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Mac lepas telah ditemukan, selepas mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata kesemua individu terbabit hadir ke IPD Bentong kira-kira 9.30 malam, dalam keadaan selamat.
Advertisement
“Siasatan awal mendapati tindakan keluar dari rumah itu disebabkan masalah perselisihan faham keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaiham turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya penduduk di Bentong atas kerjasama serta maklumat yang diberikan hingga kes berkenaan berjaya diselesaikan.
Semalam, media melaporkan enam sekeluarga didakwa hilang selepas dipercayai keluar dari rumah mereka di Taman Orkid, Bentong sejak Isnin lepas.
-- BERNAMA