KUALA LUMPUR: Enam langkah termasuk audit menyeluruh dan menaik taraf rangkaian sistem perparitan Kuala Lumpur, penguatkuasaan lebih ketat terhadap aktiviti pembinaan serta pelaburan dalam kemudahan takungan banjir dicadangkan bagi menangani banjir kilat yang kerap berulang di ibu negara.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan hari ini berkata langkah tersebut penting bagi memperkukuh sistem tebatan banjir di ibu kota dan menangani kelemahan utama dalam infrastruktur salirannya.
Beliau berkata Pelan Induk Saliran Bandar Kuala Lumpur juga perlu disemak semula dan dilaksanakan secara berkesan selain menaik taraf perparitan yang usang, bersaiz kecil dan tidak mencukupi bagi menampung intensiti hujan yang semakin meningkat serta pembangunan pesat bandar.
Langkah lain termasuk memperkukuh penyelenggaraan berkala longkang, sungai dan laluan air menerusi pembersihan secara sistematik, pembuangan sampah serta pengerukan kelodak bagi memastikan aliran air tidak terhalang.
Lee juga menggesa penguatkuasaan lebih ketat terhadap aktiviti pembinaan dan pembangunan, dengan pemaju serta kontraktor diwajibkan memasang dan menyelenggara perangkap kelodak yang mencukupi, melaksanakan langkah kawalan sedimen serta sistem perparitan yang sempurna.
“Pihak yang mengabaikan keperluan ini mesti dikenakan hukuman berat termasuk perintah henti kerja jika perlu.
“Selain itu, pelaburan perlu dibuat untuk membina lebih banyak kolam takungan banjir, kemudahan penyimpanan air hujan bawah tanah, tangki simpanan serta stesen pam yang dapat membantu menguruskan air hujan berlebihan dan mengelakkan limpahan secara mendadak yang membebankan sistem saliran,” katanya.
Lee juga mencadangkan penerapan konsep bandar span (sponge city) menerusi pemeliharaan kawasan lapang hijau, meningkatkan penggunaan permukaan telap air dan menerapkan penyelesaian saliran bandar mampan dalam pembangunan baharu.
Beliau berkata penyelarasan dan akauntabiliti lebih kukuh dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan juga diperlukan dengan sasaran pelaksanaan, jadual masa yang jelas serta pelaporan awam secara berkala mengenai kemajuan projek tebatan banjir.
Beliau juga menggesa pihak berkuasa memperkukuh sistem amaran awal dan penyelarasan tindak balas kecemasan bagi melindungi pengguna jalan raya, pejalan kaki dan komuniti di kawasan yang kerap dilanda banjir.
“Pihak berkuasa mesti beralih daripada pendekatan reaktif kepada strategi pencegahan dan jangka panjang.
“Matlamat kita untuk menjadikan Kuala Lumpur bandar raya berdaya tahan banjir dengan tekad jelas mencapai sifar kematian berkaitan banjir yang boleh dicegah serta meminimumkan insiden dan kerosakan akibat bencana itu,” katanya.
Lee berkata adalah tidak wajar untuk ibu negara itu terus mengalami banjir setiap kali hujan lebat sehingga mengganggu kelancaran trafik, merosakkan harta benda, menjejaskan perniagaan dan mendatangkan bahaya kepada nyawa.
-- BERNAMA