BANDARAYA MELAKA: Enam pelanggan sebuah restoran termasuk dua kanak-kanak cedera selepas sebuah kenderaan hilang kawalan dan merempuh masuk premis makanan berkenaan di Jalan Puteri Hang Li Po, Bukit Baru di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, pemandu sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang berusia 66 tahun dikatakan tertekan pedal minyak selepas selesai menjamu selera di restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata pemandu lelaki warga emas itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan manakala enam pelanggan cedera ringan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku apabila pemandu Perodua Kancil terbabit baru selesai makan di restoran tomyam itu dan hendak menghidupkan kenderaan yang di parkir di hadapan kedai.

“Selepas menghidupkan enjin kereta, warga emas itu tertekan pedal minyak sehingga kereta dipandu terus merempuh masuk ke dalam restoran selain turut melanggar tembok dinding di dalam premis itu dan menyebabkan beberapa pelanggan cedera,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut ujarnya, kesemua mangsa berusia setahun hingga 56 tahun itu juga telah dihantar ke Hospital Melaka dan menerima  awatan di Zon Hijau.

“Kenderaan warga emas itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala bahagian dinding dapur dan beberapa meja dan kerusi restoran berkenaan juga terjejas.

“Ketika kejadian, cuaca baik dan terdapat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta saksi bebas yang tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Rule 10LN 166/58,” tambahnya.