GEORGE TOWN: Enam ahli sindiket pengedaran dadah antarabangsa ditahan bersama dadah jenis syabu seberat lebih 183.6 kilogram (kg) bernilai RM6.1 juta dalam operasi bermula Rabu lalu.

Kesemua suspek yang merupakan seorang warga tempatan dan lima warga asing itu ditahan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang dan Pasukan Polis Marin Wilayah Satu dalam operasi terancang.

Kesemua dadah tersebut dibungkus dalam bungkusan teh cina berwarna hijau dan dicetak dengan nombor 288 dipercayai bagi menandakan ia merupakan dadah daripada kumpulan tersebut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun itu ditahan dalam lima serbuan berasingan iaitu di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Menurutnya, hanya tangkapan pertama iaitu lelaki warga asing di Autocity, Juru pada jam 6 petang, 29 Mac yang membawa kepada penemuan kesemua dadah tersebut.

"Kita menahan sebuah kereta Honda CRV yang dipandu buruh binaan tersebut dan pemeriksaan mendapati, terdapat lima bongkah plastik berwarna hitam mengandungi 178 bungkusan dadah jenis syabu seberat 183.6 kg bernilai RM6.1 juta.

"Susulan daripada itu, kita menahan lima suspek lain iaitu seorang lelaki warga tempatan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada jam 4 pagi keesokan harinya manakala selainnya di tiga lokasi sekitar Pulau Pinang.

"Dua warga asing tidak bekerja manakala dua warga asing lagi bekerja sebagai nelayan. Ini adalah rampasan syabu terbesar bagi Pulau Pinang setakat ini," katanya pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin, Batu Uban di sini pada Jumaat.

Kata Mohd Shuhaily, selain dadah, polis turut menyita tujuh buah kenderaan, wang tunai bernilai RM500,000 dan sebuah bot gentian yang mempunyai dua buah enjin bernilai RM380,000.

"Wang tunai dan tujuh kenderaan antaranya Toyota Alphard, Mercedes Benz, Proton X70 dan Porsche Panamera dirampas daripada lelaki tempatan yang tidak bekerja itu. Jumlah nilai keseluruhan kereta tersebut adalah RM1.38 juta.

"Hasil siasatan, kita percaya, dadah yang dirampas telah dibawa dari Kuala Lumpur ke negeri ini melalui laluan darat untuk dibawa ke Indonesia melalui laluan laut menggunakan bot gentian milik dua nelayan tersebut yang telah diubahsuai," katanya.

Difahamkan, dadah tersebut dipercayai akan dihantar ke Indonesia menggunakan bot gentian berkenaan.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan sitaan dan nilai dadah yang dirampas adalah RM8.32 juta.

"Sindiket pengedaran dadah antarabangsa ini aktif sejak pertengahan tahun lalu. Kesemua dadah yang dirampas ini, mampu dibekalkan kepada 9 juta penagih jika terlepas ke pasaran.

"Kesemua suspek negatif dadah namun dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan jenayah dan dadah. Masih terlalu awal untuk kita kenalpasti dalang sindiket dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Semua suspek warga asing mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Mengulas mengenai kemampuan bot gentian yang mempunyai dua buah enjin itu, Mohd Shuhaily berkata, bot yang dirampas di Kuala Sungai Juru itu mampu digunakan secara terus pergi dan balik dari negara ini ke negara jiran.

"Bot ini juga diubah suai dengan enjin ganti bagi membolehkan ia digunakan untuk perjalanan jarak jauh. Bot ini juga menggunakan kuasa enjin 800 kuasa kuda dan kapasiti bahan bakar adalah 3,000 liter dengan kelajuan 50 knot (90 kilometer/jam).

"Kesemua suspek direman bermula hari ini (Jumaat) sehingga 5 April. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. Sinar Harian