Skip to main content

Malaysia

Enam individu termasuk wanita berketurunan Pakistan didakwa terlibat samun berkumpulan

JOHOR BAHRU, 6 Mac -- Seorang daripada enam tertuduh, Shameem Begum Abdul Said (tengah), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah bersama lima lagi tertuduh atas dakwaan samun hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Seorang daripada enam tertuduh, Shameem Begum Abdul Said (tengah), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah bersama lima lagi tertuduh atas dakwaan samun hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Enam individu termasuk seorang wanita berketurunan Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung kes rompakan berkumpulan di Pasir Gudang bulan lepas.

Di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee, Muhammad Syukri Mohamed Yusoff, 32, dan Abdul Rahman Abd Rahim, 23, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan.

Advertisement

Seorang lagi tertuduh, Emmirul Azim Samat, 30, turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membuat persiapan untuk melakukan rompakan serta memiliki harta curi.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Syukri dan Abdul Rahman didakwa secara bersama melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang ahli perniagaan melibatkan wang tunai berjumlah RM500,000 di tempat letak kereta di belakang sebuah bank di Pusat Perdagangan Pasir Gudang, kira-kira 12.30 tengah hari, 24 Feb lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Emmirul didakwa mengikut Seksyen 399 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebatan kerana membuat persiapan melakukan rompakan berkumpulan terhadap mangsa sama di lokasi dan waktu yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, Emmirul didakwa menyimpan harta curi iaitu 100 keping wang kertas RM20, 152 keping wang kertas RM10 serta lima bungkusan plastik mengandungi wang kertas RM50 berjumlah RM50,000 milik mangsa di sebuah rumah di Jalan Rimba 53, Bandar Seri Alam, Masai di sini, kira-kira 8.50 malam, 24 Feb.

Dia didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu, manakala Muhammad Syukri dan Abdul Rahman diwakili peguam G. Kamala dan Emmirul diwakili Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.

Mahkamah membenarkan Muhammad Syukri dan Abdul Rahman diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Emmirul pula dibenarkan jaminan sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang sama.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, dua lagi tertuduh iaitu Muhammat Rashid Ismail, 30, dan Shameem Begum Abdul Said, 53, didakwa menjadi pihak dalam suatu pakatan jenayah untuk melakukan rompakan berkumpulan di tempat letak kereta di belakang sebuah bank di Pusat Perdagangan Pasir Gudang pada masa dan tarikh sama.

Muhammat Rashid mengaku tidak bersalah, manakala Shameem Begum mengaku bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 395 kanun sama dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afdhallan Syafiq manakala Muhammat Rashid diwakili peguam Hafiz Zalkapli dan Shameem Begum tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta keputusan hukuman terhadap Shameem Begum.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, seorang lagi tertuduh, Mohamad Taufiq Mohammad Jamil, 31, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi terhadap pertuduhan menyimpan senjata tiruan sepucuk pistol berwarna perak jenis Pietro Beretta mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 di sebuah bilik pejabat di Taman Damansara Aliff, Tampoi, pada 11.05 pagi, 27 Feb lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam manakala tertuduh diwakili peguam Tarmeze Mohd Taib. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video