Enam menara telekomunikasi baharu sedang dibina di Parlimen Baram dalam usaha menambah baik perkhidmatan jalur lebar di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata sehingga Jun 2020, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menambah baik perkhidmatan jalur lebar di kawasan tersebut.

Antaranya pembinaan 43 menara telekomunikasi juga menaiktaraf alat pemancar telekomunikasi sedia ada.

“Pada masa ini kementerian dan SKMM sedang mengadakan sesi perancangan bersama pihak industri dan beberapa agensi kerajaan untuk mengenal pasti lokasi berpenduduk di kawasan pedalaman.

“Ini termasuk di kawasan Long Apu, Long Spigen, Long Palai dan dan lain-lain kawasan Parlimen Baram untuk memantapkan kualiti perkhidmatan dan menggunakan berbagai teknologi yang sesuai dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Zahidi berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen pada Isnin.

Antara lain ujarnya kerajaan juga sedang menjalankan kajian terperinci penggunaan teknologi satelit untuk capaian jalur lebar di Sabah dan Sarawak melalui Program Makmal Infrastruktur Digital Negara (MAKMAL) yang diadakan bermula 13 Julai dan 14 Ogos ini.

Usaha itu bagi mengelak kecurian teknologi jalur lebar di kawasan terlibat selain memastikan jurang liputan dikurangkan.


Selain itu, Zahidi turut menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong yang mahu kerajaan menggunakan teknologi baharu bagi mengelakkan kecurian genset sekali gus mengganggu liputan internet.

“Kecurian (teknologi jalur lebar) ini berlaku di kawasan (luar bandar) walaupun kita menggunakan solar hibrid, genset (generator set) termasuk optik gentian juga dicuri dan (kecurian) ini sukar dikawal sebab terletak di kawasan pedalaman.

“Bagaimanapun kita (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) sedang mencari teknologi baharu antaranya penggunaan satelit sedang kita usahakan di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak. Ini perlu bagi memastikan usahawan luar bandar terus terjaga dan mendapat pengetahuan dari segi kemudahan digital dan sebagainya,” tambahnya lagi.