MALAYSIA
Enam senior direman 6 hari, pukul pelajar Tingkatan Tiga

Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, kejadian berlaku pada Isnin lalu kira-kira jam 12.45 tengah hari ketika mangsa berada di kawasan sekolah terbabit. - Gambar hiasan
PASIR MAS: Enam pelajar lelaki Tingkatan Empat direman selama enam hari bermula Rabu bagi membantu siasatan kes buli yang membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di sini.
Ringkasan AI
- Enam pelajar lelaki Tingkatan Empat direman enam hari bagi siasatan kes buli terhadap pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Pasir Mas, melibatkan tindakan fizikal dan pelucutan pakaian mangsa.
- Mangsa mengalami sakit kepala dan trauma akibat kejadian yang berlaku pada Isnin lalu, sebelum membuat laporan polis dengan bantuan ibu bapanya.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 323/507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dengan semua suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut.
“Seorang daripada suspek turut bertindak melondehkan seluar sukan dipakai mangsa hingga paras lutut. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit kepala serta trauma untuk ke sekolah kerana sering diganggu oleh kumpulan sama.
“Tidak tahan dengan perbuatan itu, mangsa memaklumkan kepada ibu bapanya sebelum laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut.
Kesemua mereka ditahan pada Selasa kira-kira jam 2.55 petang, dan permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Pasir Mas.
Kama Azural memaklumkan, Majistret membenarkan kesemua suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323/507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pelajar sekolah di sini cedera selepas dipercayai dipukul, seluar dilondeh, dan nyaris dijerut menggunakan dawai oleh sekumpulan pelajar pada Selasa.
Dakwaan tersebut didedahkan oleh ibu saudara kepada mangsa menerusi satu hantaran di Facebook miliknya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami