KUALA TERENGGANU: Stesen bacaan enam sungai di empat daerah di Terengganu melepasi paras bahaya setakat pukul 11 pagi tadi berikutan hujan lebat yang berterusan sejak Rabu lepas.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan dua sungai melepasi paras bahaya di daerah Kemaman iaitu Sungai Tebak setinggi 19.37 meter (m) berbanding 18.5 m dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih setinggi 14.54 m (paras bahaya 14 m).

Difahamkan, beberapa kawasan di Kemaman mula dinaiki air antaranya Kampung Teladas, Kampung Air Putih, Kampung Dadong, Kampung Padang Kubu, Kampung Tebak dan Kampung Batu 16 serta Seberang Jabor.

Sementara itu di Setiu, dua sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Chalok setinggi 9.14 m (paras bahaya 8.4 m) dan Sungai Setiu setinggi 17.84 m (paras bahaya 17.5 m).

Selain itu, Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut merekodkan ketinggian air 35.11 m mengatasi paras bahaya 35 m dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang setinggi 2.82 m (paras bahaya 2.7 m).

Enam lagi sungai di empat daerah kini melepasi paras amaran iaitu tiga di daerah Hulu Terengganu (Sungai Berang, Sungai Peneh dan Sungai Telemong) serta Sungai Nerus di Kampung Langkap daerah Setiu, Sungai Dungun dan Sungai Tumpat di Kemaman.

Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan (bahaya, buruk dan waspada) untuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan berkuat kuasa hingga esok.

-- BERNAMA