Ringkasan AI
- Maxis Business dan Astro menganjurkan Forum SME Bisnes Level Up untuk membantu PMKS menghadapi cabaran operasi, pemasaran dan penyesuaian teknologi baharu.
- Forum ini menyediakan platform kepada usahawan untuk mendapatkan ilmu, sokongan, serta penyelesaian praktikal melalui kerjasama dengan pakar industri dan agensi berkaitan.
- Antara fokus forum ialah pendigitalan, pembiayaan, e-dagang, pemasaran digital dan penggunaan AI bagi meningkatkan daya saing serta operasi PMKS.
KUALA LUMPUR: Kos operasi yang semakin meningkat, cabaran pemasaran dan keperluan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu mendorong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meneroka pendekatan berbeza bagi mengembangkan perniagaan.
Menyedari keperluan itu, Maxis Business dengan kerjasama Astro menganjurkan Forum SME Bisnes Level Up, sebuah inisiatif julung kali diadakan bagi menghubungkan usahawan dengan pakar industri, penyedia perkhidmatan serta agensi berkaitan untuk mendapatkan ilmu, sokongan dan penyelesaian praktikal.
Pengarah Segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Maxis Business, Steven Soon, berkata forum itu menjadi platform untuk pihaknya memahami cabaran sebenar yang dihadapi PMKS dan mencari penyelesaian bersama rakan kolaborasi.
Menurut beliau, inisiatif itu merupakan kesinambungan daripada program televisyen SME Great Helper: Bisnes Level Up yang bertujuan meningkatkan pengetahuan keusahawanan dan membantu usahawan membawa perniagaan mereka ke tahap seterusnya.
“Bisnes Level Up ini ialah platform untuk kami mendekati PMKS, memahami cabaran yang mereka hadapi dan bersama-sama mencari penyelesaian.
“Maxis Business bukan sahaja menyediakan perkhidmatan, tetapi juga penyelesaian menyeluruh untuk PMKS, bukan hanya di Lembah Klang, malah di seluruh Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas acara Forum SME Bisnes Level Up, di sini, pada Khamis.
Steven berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen Maxis Business untuk menyediakan sokongan lebih menyeluruh kepada usahawan, bukan sahaja melalui perkhidmatan yang ditawarkan, malah dengan menghubungkan mereka kepada penyedia perkhidmatan dan agensi kerajaan yang boleh membantu menangani keperluan perniagaan.
Beliau turut menyifatkan sambutan terhadap forum di Kuala Lumpur adalah sangat positif, dengan penyertaan yang menggalakkan daripada usahawan, penyedia perkhidmatan dan wakil agensi kerajaan.
Menurutnya, sambutan itu menunjukkan minat dalam kalangan usahawan untuk mendalami selok-belok perniagaan serta meneroka peluang bagi mengembangkan operasi masing-masing.
“Saya rasa kita amat berbangga kerana bersama dengan Astro, kita dapat menjayakan acara hari ini.
“Tetapi, kita juga gembira kita dapat nampak kehadiran yang menggalakkan untuk hari ini juga.
“Datanglah ke Johor Bahru untuk mempelajari apa yang kita dapat kongsi kepada semua PMKS untuk Malaysia,” tambahnya.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Eksekutif The Colony, Timothy Tiah, menekankan kepentingan penjenamaan peribadi menerusi media sosial sebagai strategi pemasaran yang boleh membantu PMKS meluaskan rangkaian dan meningkatkan keterlihatan perniagaan.
“Saya berharap PMKS di Malaysia menggunakan penjenamaan peribadi untuk memasarkan perniagaan mereka.
“Berdasarkan pengalaman saya, pendekatan itu benar-benar mengubah kehidupan saya.
“Jika berdepan cabaran pemasaran atau membina rangkaian, penjenamaan peribadi di media sosial boleh menjadi penyelesaian,” ujarnya.
Timothy turut melihat kecerdasan buatan (AI), khususnya ejen AI, sebagai peluang untuk membantu usahawan mengurus tugasan perniagaan dengan lebih cekap ketika berdepan peningkatan kos.
Beliau berkata, ejen AI boleh membantu pelbagai tugasan seperti perhubungan, jualan dan penyelidikan, sekali gus berpotensi mengurangkan masa serta kos yang diperlukan untuk melaksanakan kerja tertentu.
“Jika melibatkan tugasan seperti perhubungan, jualan dan penyelidikan, ejen AI boleh melakukannya dengan cekap dan pada kos yang lebih rendah. Penggunaan dan pembangunan ejen AI juga tidak semestinya mahal,” jelasnya.
Forum itu turut menyediakan pendedahan kepada aspek pendigitalan, pembiayaan, e-dagang dan pemasaran digital, selain penggunaan teknologi AI bagi membantu PMKS menambah baik operasi serta meningkatkan daya saing.
Melalui kerjasama dengan rakan industri termasuk Pos Malaysia, TikTok Shop, Funding Societies dan AI Training 2U, forum berkenaan turut membuka ruang kepada peserta untuk mengenali penyelesaian serta peluang sokongan yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan mereka.
Inisiatif itu turut menampilkan konsep perkongsian pengalaman dan bimbingan keusahawanan yang diketengahkan menerusi program televisyen SME Great Helper: Bisnes Level Up yang membantu usahawan meningkatkan jualan, menambah baik operasi serta memperkukuh kebolehpasaran produk.
Antara rakan kolaborasi forum ialah PosMalaysia, Funding Societies, IoT SATA, Tiktok Shop, AITraining2u, SJPP, INSKEN, Bank Muamalat, The Colony, Alha Alfa Cosmetics, The Raw, Nada Identity dan astro Awani.
Siri seterusnya dijadualkan berlangsung di Johor Bahru pada 19 November 2026 dengan pendaftaran masih dibuka kepada usahawan yang berminat untuk menyertai sesi perkongsian dan mendapatkan pendedahan berkaitan pembangunan perniagaan.