KUALA KANGSAR: Empat lelaki termasuk tiga beradik didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Isnin atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan bawah umur di Gerik, Perak bulan lalu.

Bagaimanapun keempat-empat tertuduh, termasuk tiga di bawah umur mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Rohaida Ishak.

Mengikut kertas pertuduhan, tiga beradik yang berusia, 23, 17, dan 14 tahun bersama seorang lagi rakan mereka berusia 16 tahun didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun 2 bulan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Pahat Luar, Gerik pada awal November lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai, selain melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Dalam prosiding sama, dua lagi abang mereka yang berusia 25 dan 31 tahun mengaku bersalah melakukan amang seksual ke atas mangsa yang sama di lokasi sama, pada awal November.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Januari depan untuk tarikh sebutan semula kedua-dua kes bagi mendapatkan laporan psikiatri mangsa, lantikan peguam, dan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala ke semua tertuduh tidak diwakili peguam.