Virus Zika yang sudah memasuki Malaysia dijangka menjadi epidemik dalam skala lebih besar berbanding Singapura.

Pakar Kanan Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Datuk Dr Amar Singh berkata Malaysia mempunyai masalah aedes yang lebih serius sekali gus meningkatkan risiko penyebaran Zika.

“Kita sebagai masyarakat tidak mengambil berat tentang denggi dan Zika. Denggi dan Zika amat berkaitan sebab merebak melalui aedes. Saya rasa kita tidak boleh hapuskan aedes tanpa kerjasama dari masyarakat keseluruhan dan di Malaysia saya lihat memang kita tidak boleh menghapuskan denggi sebab masyarakat tidak mengambil berat tentang sampah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Menurutnya, belum ada antibiotik atau vaksin untuk Zika dan ia senang menjangkiti orang ramai kerana belum ada imunisasi.

BACA: Zika masuk Malaysia: 5 perkara anda perlu tahu

VIDEO: Lima warga Malaysia positif Zika di Singapura

Sehubungan itu katanya, masyarakat perlu mengambil tanggungjawab untuk menghapuskan kawasan pembiakan aedes.

“Saya juga risau untuk ibu-ibu yang mengandung dan bayi yang akan lahir. Kalau kita lihat data dari Brazil dan negara lain menghadapi Zika, kumpulan ibu bapa, ramai yang ada anak yang cedera, dapat microcephaly, otak menjadi kecil. Perkara itu susah sebab banyak nyamuk. Kita tidak boleh bagi tanggungjawab kepada ibu mengandung tapi seluruh masyarakat,” katanya lagi.

Data terbaru dari Brazil ada menyatakan bahawa 20 sehingga 30 peratus orang yang menghidap Zika tidak tahu mereka dijangkiti penyakit tersebut.

Tambahnya kesan sampingan virus Zika ini hanya akan dirasai selepas satu atau dua tahun.

Semalam Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang wanita berusia 58 tahun di Klang, Selangor sebagai mangsa pertama dijangkiti virus Zika di Malaysia.

Pemerintah Singapura pada Khamis telah mengenal pasti 31 lagi kes jangkitan Zika tempatan, termasuk yang melibatkan wanita hamil kedua.

Jumlah terbaharu itu menjadikan angka kes keseluruhannya meningkat ke 151.