MERSING: Seorang remaja lelaki lemas ketika mandi di sungai di jeti Kampung Peta, Endau di sini pada Selasa.
Mayat Muhammad Adam Haziq Muhammad Hazriq, 15, ditemui jam 12.41 tengah hari Rabu.
Advertisement
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi dilaporkan hilang menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan oleh pasukan keselamatan.
"Mayat mangsa ditemukan oleh anggota penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada kedalaman kira-kira enam meter.
"Mayat dibawa ke Hospital Mersing untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau dibantu sebuah jentera Navara 1 dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 135 kilometer selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.24 malam tadi.
Komander Operasi, PBK II Mohd Sahrel Anuar Mawarday berkata, pasukan bomba tiba sekitar jam 11.45 malam sebelum melakukan pemantauan awal di lokasi kejadian.
"Selepas mengadakan perbincangan bersama polis dan keluarga mangsa, operasi SAR kemudiannya dimulakan pada jam 9 pagi tadi dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Johor," katanya dalam kenyataan. -Sinar Harian