Skip to main content

Dunia

Iran enggan benarkan pemeriksa IAEA akses kemudahan nuklear selagi syarat tidak dipenuhi

Sepanduk yang memaparkan Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Naib Presiden AS JD Vance dan Utusan Khas AS Steve Witkoff dipasang di sebuah jalan di Tehran, Iran, ketika seorang wanita melintas berhampirannya. - Foto REUTERS
Sepanduk yang memaparkan Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Naib Presiden AS JD Vance dan Utusan Khas AS Steve Witkoff dipasang di sebuah jalan di Tehran, Iran, ketika seorang wanita melintas berhampirannya. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Iran menegaskan tidak akan membenarkan IAEA mengakses kemudahan nuklear terjejas sehingga syarat Tehran dipenuhi dan perang berakhir sepenuhnya.
  • Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, menyatakan akses hanya dipertimbangkan selepas tuntutan Iran dipenuhi dan jaminan konflik tidak berulang diberikan.
  • Pendirian Iran dijangka merumitkan usaha diplomatik untuk memulihkan kepercayaan antarabangsa terhadap program nuklear negara itu.
Advertisement

TEHRAN: Iran menegaskan tidak akan membenarkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengakses kemudahan nuklearnya yang terjejas akibat konflik baru-baru ini sehingga syarat yang ditetapkan Tehran dipenuhi dan perang berakhir sepenuhnya.

Menurut laporan Al Jazeera, Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, berkata Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) tidak akan memberikan akses kepada pemeriksa IAEA buat masa ini, meskipun agensi pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu baru-baru ini menggesa Iran membuka semula kemudahan berkenaan untuk pemeriksaan.

Dalam kenyataan yang disiarkan televisyen kerajaan Iran, Gharibabadi berkata sebarang akses hanya akan dipertimbangkan selepas tuntutan Iran dipenuhi dan terdapat jaminan bahawa konflik yang tercetus sebelum ini tidak akan berulang.

Advertisement

Beliau turut mempersoalkan tujuan sebenar permintaan IAEA untuk melawat tapak nuklear yang rosak.

Dalam rakaman video yang diterbitkan agensi berita Fars, Gharibabadi mendakwa permintaan itu berkemungkinan bertujuan menilai tahap keberkesanan serangan dan persenjataan Amerika Syarikat terhadap kemudahan nuklear Iran.

Advertisement

"Pertama sekali, Amerika Syarikat perlu memberikan jaminan yang diperlukan bahawa semua syarat Iran akan dihormati sebelum sebarang akses dibenarkan," katanya.

Gharibabadi, yang pernah berkhidmat sebagai duta Iran ke IAEA, tidak memperincikan syarat yang dimaksudkan atau bentuk jaminan yang diharapkan Tehran daripada Washington.

Ketegangan mengenai program nuklear Iran kembali menjadi perhatian antarabangsa selepas beberapa kemudahan strategik negara itu mengalami kerosakan dalam konflik baru-baru ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan bahan dan aktiviti nuklear di negara berkenaan.

IAEA sebelum ini menyeru Iran memulihkan akses kepada pemeriksa badan itu bagi membolehkan penilaian bebas dilakukan terhadap keadaan semasa kemudahan nuklear terbabit, namun Tehran masih berkeras bahawa sebarang kerjasama lanjut bergantung kepada perkembangan politik dan keselamatan yang lebih luas.

Menurut Al Jazeera, pendirian terbaru Iran berpotensi merumitkan usaha diplomatik untuk menghidupkan semula tahap kepercayaan antara Tehran dan komuniti antarabangsa dalam isu program nuklearnya.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement