Skip to main content

Dunia

Iran dakwa kapal tangki gergasi bawa dua juta tong minyak tenggelam di Selat Hormuz

Kapal-kapal kontena merentasi Selat Hormuz berhampiran Bandar Abbas, Iran, pada 14 Nov 2026. Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan dan perdagangan minyak terpenting dunia.  - Gambar AP
Kapal-kapal kontena merentasi Selat Hormuz berhampiran Bandar Abbas, Iran, pada 14 Nov 2026. Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan dan perdagangan minyak terpenting dunia. - Gambar AP
Advertisement

TEHRAN: Pengawal Revolusi Iran pada Ahad mendakwa sebuah kapal tangki gergasi yang membawa lebih dua juta tong minyak mentah tenggelam selepas melanggar periuk api laut dan terbakar di Selat Hormuz.

Menurut kenyataan yang disiarkan televisyen negara, kapal tersebut merupakan salah satu daripada dua kapal tangki yang dikatakan melanggar periuk api ketika melalui laluan perdagangan strategik itu. Bagaimanapun, tiada pengesahan bebas diperoleh setakat ini berhubung insiden berkenaan.

Sejak tercetusnya perang di Asia Barat pada penghujung Februari lalu, Tehran telah memperketat kawalan ke atas trafik perkapalan di Selat Hormuz dengan mewajibkan kapal menggunakan laluan yang diluluskan oleh republik Islam itu.

Advertisement

Iran juga dilaporkan kerap menyasarkan kapal yang melalui perairan berkenaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negara itu. 

Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan laut ke atas pelabuhan Iran dan membantu kapal-kapal dagang menyeberangi selat tersebut yang lazimnya mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia.

Advertisement

Tentera AS sebelum ini mendakwa telah membersihkan semua periuk api dari laluan utama perkapalan di perairan berkenaan.

Dalam kenyataannya, Pengawal Revolusi Iran berkata, dua kapal tangki minyak yang menggunakan laluan tidak dibenarkan di bahagian selatan Selat Hormuz telah melanggar periuk api laut sehingga mencetuskan letupan besar dan kebakaran.

"Sebuah daripada kapal tersebut, iaitu kapal tangki gergasi yang membawa lebih dua juta tong minyak mentah, telah tenggelam di perairan selatan Teluk Parsi," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Iran tidak mendedahkan identiti atau negara asal kedua-dua kapal berkenaan.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Tehran beberapa kali mengumumkan kejadian kapal terbakar di Selat Hormuz dan sering mendakwa insiden itu berpunca daripada pelanggaran periuk api.

Sementara itu, Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), yang menyelia operasi ketenteraan AS di rantau tersebut, terus membantu pergerakan kapal-kapal melalui selat berkenaan. 

Bulan lalu, ia memaklumkan telah membantu negara-negara Teluk mengeksport kira-kira 1.5 bilion tong minyak melalui Selat Hormuz sejak musim panas tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) memaklumkan pihaknya menyedari laporan daripada pihak berkuasa perkapalan India mengenai satu serangan terhadap kapal tangki di Teluk, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia merujuk kepada insiden yang sama seperti diumumkan Iran.

UKMTO berkata, tahap kerosakan serta kesan terhadap alam sekitar masih belum diketahui, namun semua anak kapal dilaporkan berada dalam keadaan selamat. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement