Skip to main content

Malaysia

ETCON 2026: TNB tonggak peralihan tenaga, PM tekankan kepentingan grid tenaga ASEAN

Sumber: Astro AWANI
Anwar (dua, kiri) pada Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memainkan peranan kritikal sebagai pemacu utama dalam keseluruhan ekosistem tenaga negara serta rantaian bekalan serantau, seiring usaha memperkukuh daya tahan dan kelestarian tenaga.

Beliau berkata peralihan tenaga yang sedang digerakkan memerlukan pendekatan baharu termasuk suntikan tenaga dan idea segar, selain kerjasama strategik dengan negara jiran seperti Indonesia yang disifatkan sangat penting dalam memperkukuh ekosistem tersebut.

“Kita sedang bercakap tentang keseluruhan ekosistem dan rantaian bekalan, yang memerlukan kita untuk terus melangkah ke hadapan.

"Oleh yang demikian, segalanya memerlukan tenaga baharu dan Indonesia memainkan peranan yang sangat penting dan kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau Bersama Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Timbalan Menteri Datuk Sri Abdul Rahman Haji Mohamad berkaitan memberi tumpuan kepada keutamaan utama termasuk pelaksanaan dasar ekonomi negara dan keperluan untuk mengurus TNB secara lebih fleksibel.

“Kita perlu memberi ruang untuk pelaksanaan inisiatif atau usaha-usaha baharu bagi memastikan sektor ini kekal berdaya saing dan responsif kepada keperluan semasa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Malaysia turut aktif mempromosi penubuhan Grid Tenaga ASEAN sebagai langkah strategik untuk memperkukuh keselamatan bekalan tenaga serantau.

Menurut beliau, cadangan itu melibatkan rangkaian penghantaran tenaga yang bermula dari Vietnam merentasi Asia Tenggara sehingga ke Singapura, dengan TNB sebagai antara pemain utama.

“Peranan TNB sangat kritikal untuk menjayakan program ini, dan kita yakin dengan keupayaan serta pengalaman syarikat ini dalam mengurus projek berskala besar,” katanya.

Selain itu, Anwar menekankan kepentingan kerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak dalam memanfaatkan sumber tenaga besar negeri itu, termasuk penyediaan laluan tenaga melalui dasar laut bagi memenuhi permintaan di Singapura serta kawasan lain seperti Sabah, Filipina dan Indonesia.

Justeru, beliau menyifatkan TNB kini melangkaui peranan tradisional sebagai syarikat utiliti semata-mata, sebaliknya menjadi entiti strategik yang menyumbang kepada sinergi ekonomi dan pembangunan serantau.

“TNB bukan lagi sekadar sebuah korporat, tetapi sinerginya merangkumi semua aspek lain termasuk pembangunan ekonomi dan integrasi serantau,” katanya.

Beliau turut menggesa agar disiplin kerja, inovasi, pendidikan serta kecekapan dalam pelaksanaan terus diperkukuh bagi memastikan kejayaan agenda peralihan tenaga negara.

Anwar dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan warga kerja TNB atas keupayaan mereka mengurus cabaran sektor tenaga dengan baik.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan rasa syukur yang amat mendalam kepada TNB kerana mempamerkan keupayaan rakyat Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang,” katanya.

Menyentuh perkembangan global, Perdana Menteri berkata ketegangan di Asia Barat khususnya di sekitar Selat Hormuz memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan tenaga dunia, termasuk di rantau ASEAN.

“Walaupun pusat krisis itu jauh, gegarannya dirasai di seluruh rantau dan memberi tekanan kepada bekalan tenaga kepada industri serta pengguna,” katanya.

Beliau berkata situasi itu menjadi peringatan bahawa dunia kini saling bergantung dan terdedah kepada ketidaktentuan geopolitik global, khususnya dalam sektor tenaga.

Menurutnya, kebergantungan kepada bahan api fosil turut menimbulkan kebimbangan baharu kerana sumber tersebut semakin terhad serta kurang stabil berbanding sebelum ini.

Anwar berkata permintaan tenaga di rantau ini dijangka meningkat lebih 60 peratus menjelang 2040 hasil urbanisasi dan proses perindustrian pesat.

“Cabaran kita bukan sekadar menghasilkan lebih banyak tenaga, tetapi memastikan bekalan itu selamat, mampu milik dan mampan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kepimpinan TNB telah menunjukkan keupayaan luar biasa dalam menangani cabaran tersebut dengan pantas dan berkesan.

 

Must Watch Video

Advertisement