KUALA LUMPUR: Pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI) dan pusat data dijangka menjadi antara pemacu utama permintaan tenaga negara pada masa hadapan, sekali gus meletakkan kerjasama antara sektor tenaga dan teknologi sebagai agenda penting dalam peralihan tenaga negara.
Ketua Pegawai Kanan Strategi, Regulatori dan Kelestarian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Muhamad Nazri Pazil berkata, Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) menjadi platform penting untuk menghimpunkan kerajaan, pelabur dan pemain industri bagi mempercepat pelaksanaan projek serta pelaburan yang menyokong agenda tersebut.
“Kami mahu melihat momentum yang terhasil diterjemahkan kepada projek, pelaburan dan tindakan susulan yang nyata, sejajar dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju peralihan tenaga di rantau ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan hari kedua ETCon26 yang berlangsung di sini.
Mengenai tema ETCon26 tahun ini iaitu ‘Tenaga & AI: Sinergi Memacu Peralihan Tenaga’, Nazri berkata tiga kandungan utama yang diketengahkan iaitu Tenaga untuk AI, AI untuk Tenaga, dan Peralihan Tenaga untuk Rakyat saling melengkapi dalam membentuk ekosistem tenaga masa hadapan.
Beliau menjelaskan, Tenaga untuk AI memberi tumpuan kepada keperluan memperkukuh sistem tenaga bagi menyokong pertumbuhan AI, pusat data dan ekonomi digital yang berkembang pesat.
Sementara itu, AI untuk Tenaga memfokuskan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan, kebolehpercayaan dan daya tahan sistem tenaga, manakala Peralihan Tenaga untuk Rakyat memastikan manfaat peralihan tenaga dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat, komuniti dan sektor perniagaan.
“Peralihan tenaga bukan hanya mengenai teknologi dan infrastruktur, tetapi juga memastikan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan kepada semua pihak,” katanya.
Mengulas pencapaian ETCon26 setakat ini, beliau berkata beberapa kerjasama strategik yang dimeterai melibatkan projek tenaga boleh baharu dan sistem penyimpanan tenaga bakal memberi impak besar kepada usaha memperkukuh grid negara.
Antara projek yang diumumkan termasuk pembangunan solar berskala besar, solar terapung hibrid hidro serta Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).
Beliau berkata projek-projek tersebut akan membantu meningkatkan integrasi tenaga boleh baharu di samping memperkukuh kestabilan sistem grid negara.
Selain itu, antara sorotan utama hari kedua ialah pertukaran dokumen melibatkan Kontrak Bekalan Tenaga Dua Hala (BESC) di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) antara TNB dan DayOne, sebuah pengendali pusat data hyperscale.
Menurut Nazri, kerjasama itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam memacu inovasi digital dan tenaga mampan selaras dengan matlamat penyahkarbonan jangka panjang di bawah NETR.
“Ia juga menyokong agenda Negara AI menjelang 2030 melalui integrasi penjanaan solar berskala besar dan sistem penyimpanan tenaga bateri bagi memastikan bekalan tenaga boleh baharu yang stabil dan boleh dipercayai untuk operasi digital berintensiti tinggi,” katanya dalam program Niaga AWANI pada Khamis.
Dengan baki dua hari lagi persidangan berlangsung, Nazri berkata para delegasi boleh menjangkakan lebih banyak dialog strategik melibatkan pembuat dasar, pelabur, syarikat utiliti dan pemain teknologi dari dalam serta luar negara.
Katanya, fokus perbincangan akan terus tertumpu kepada isu kritikal seperti peningkatan permintaan elektrik yang dipacu oleh AI dan pusat data, pembangunan grid masa hadapan, keterhubungan tenaga serantau menerusi Grid Kuasa ASEAN (APG) serta peluang kerjasama yang mampu mempercepat agenda peralihan tenaga di rantau ini.