Etiqa akan bayar tuntutan kelewatan penerbangan akibat gangguan sistem KLIA

Bernama
Ogos 23, 2019 22:35 MYT
Petugas Malaysia Airports membantu penumpang yang memenuhi ruang kaunter pendaftaran masuk KLIA, yang mengalami gangguan sistem, antara lain mengakibatkan kelewatan penerbangan di KLIA, 23 Ogos, 2019. --fotoBERNAMA/Fail
Pelanggan yang membeli insurans perjalanan atau produk takaful dari Etiqa Group Insurance and Takaful boleh menuntut pampasan bagi kelewatan penerbangan disebabkan gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau KLIA2.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kamaludin Ahmad berkata produk pelancongan Etiqa membuat bayaran tuntutan bagi kelewatan penerbangan akibat situasi seperti mogok, keadaan cuaca yang buruk dan kerosakan mekanikal syarikat penerbangan itu.
"Penumpang yang dalam urusan perniagaan juga terjejas kerana mereka mungkin perlu menghadiri mesyuarat atau acara penting yang tidak dapat dijadualkan semula, jadi kelewatan penerbangan mungkin menyebabkan mereka terlepas acara itu secara keseluruhan.
"Tetapi kami berada dalam keadaan untuk meringankan sesetengah daripada kesulitan yang dialami.
"Oleh itu, bagi kumpulan khas penumpang yang terjejas akibat gangguan sistem di KLIA atau klia2 sejak semalam (Khamis), kami memberi pengecualian dan akan membayar tuntutan akibat kelewatan penerbangan ini walaupun ia tidak dilindungi," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
BACA: Aduh, sehari suntuk di KLIA gara-gara gangguan sistem
BACA: KLIA terus alami gangguan sistem
Bagi pelanggan Etiqa, mereka boleh menghantar mesej WhatsApp di 019-650-7931 (dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat) dengan memberikan nombor kad pengenalan, jadual penerbangan, pas masuk dan butiran akaun bank.
Untuk pertanyaan semasa waktu bukan perniagaan, pelanggan boleh menghantar e-mel ke travelclaimscare@etiqa.com.my.
BACA: Gangguan sistem KLIA: Lima perkara yang anda perlu tahu
BACA: MAVCOM bimbang dengan gangguan berterusan di KLIA
-- BERNAMA
#bank #ETIQA #gangguan sistem #insurans perjalanan #Kamaludin Ahmad #kelewatan #KLIA #KLIA2 #meringankan kesulitan #pampasan #pelancongan #penerbangan #penumpang #produk takaful #tuntutan #WhatsApp