Skip to main content

Malaysia

Ewon mahu larangan parkir treler di Jalan Pelabuhan Sepanggar dikuatkuasakan

Ewon berkata beliau akan mengadakan perbincangan khas bersama agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap larangan itu, sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang. - Gambar fail/Bernama
Ewon berkata beliau akan mengadakan perbincangan khas bersama agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap larangan itu, sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick mahu larangan meletakkan treler yang membawa kontena di bahu jalan sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar dan kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dikuatkuasakan susulan kemalangan maut baru-baru ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata beliau akan mengadakan perbincangan khas bersama agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap larangan itu, sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang.

Beliau berkata perbincangan itu melibatkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

“Kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa akibat pemunggahan kontena di Jalan Pelabuhan Sepanggar turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Sabah.

“Susulan itu, saya akan memanggil untuk perbincangan khas melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap larangan meletakkan treler di bahu jalan di KKIP dan sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ewon berkata kawasan parkir transit yang disediakan KKIP kini telah dibuka dan mula digunakan oleh syarikat perkhidmatan treler.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa semua syarikat pengangkutan kontena memanfaatkan kemudahan berkenaan dan tidak lagi meletakkan treler di bahu jalan.

Beliau berkata penyediaan kawasan parkir transit itu adalah satu daripada 10 Pelan Tindakan Sementara yang dipantau pasukan petugas dipengerusikannya bagi menangani isu berkaitan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.

“Pasukan petugas itu dianggotai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, persatuan yang mewakili pengguna pelabuhan serta syarikat konsesi dan operator pelabuhan.

“Pasukan petugas berkenaan turut memantau penyelarasan pelaksanaan pelan tindakan sementara bagi menangani kesesakan berikutan keterbatasan kawasan penyimpanan kontena sedia ada sementara menunggu projek pembesaran pelabuhan yang diberikan lanjutan masa sehingga Oktober 2027,” katanya.

Pada 18 Okt lepas, dua beranak maut selepas kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza yang dinaiki mereka dihempap sebuah kontena di Jalan Sepanggar di sini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement