KUALA LUMPUR: Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain, bukan sekadar membawa perlumbaan bertaraf dunia itu kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), malah membuka peluang memperlihatkan bagaimana sukan permotoran menjadi medan aplikasi sebenar sains dan teknologi kepada generasi muda.
Walaupun penganjuran itu bersifat sekali sahaja susulan keadaan luar jangka yang menjejaskan kalendar perlumbaan musim ini, pakar berpandangan peluang berkenaan wajar dimanfaatkan untuk mendekatkan masyarakat, khususnya golongan muda, dengan dunia teknologi dan inovasi yang menjadi tunjang pembangunan F1.
Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Mas Sahidayana Mokhtar berkata F1 bukan sekadar sukan permotoran, sebaliknya sebuah ekosistem teknologi yang memperlihatkan bagaimana pengetahuan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diterjemahkan kepada penyelesaian dunia sebenar.
Di sebalik kelajuan melebihi 300 kilometer sejam, setiap jentera F1 dibangunkan hasil gabungan pelbagai disiplin sains dan teknologi, daripada kejuruteraan mekanikal serta aerodinamik hinggalah analisis data dan kecerdasan buatan (AI).
"F1 memanifestasikan elemen STEM secara langsung menerusi kejuruteraan mekanikal jentera, fizik struktur litar, kimia bahan api, matematik kelajuan serta biologi pemandu. Aspek ini perlu diketengahkan agar generasi muda melihat F1 sebagai medan aplikasi STEM yang nyata," katanya kepada Bernama.
Mas Sahidayana berkata generasi muda perlu didedahkan bahawa F1 bukan sekadar perlumbaan kereta semata-mata, sebaliknya sebuah makmal sains bergerak yang memacu teknologi masa hadapan,
Menurutnya, pendedahan kepada F1 juga dapat membantu pelajar menghubungkan pembelajaran STEM di bilik darjah dengan aplikasi sebenar dalam industri, sekali gus mengubah persepsi bahawa bidang itu hanya bersifat teori.
Beliau berkata industri sukan permotoran turut menawarkan pelbagai peluang kerjaya selain menjadi pelumba termasuk dalam bidang kejuruteraan mekanikal, sains bahan, pengaturcaraan perisian, analisis data, strategi perlumbaan, fisioterapi sukan serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Pandangan itu dikongsi Pengarah dan Jurutera Perlumbaan M's Racing Shafiq Rosli yang berkata kejayaan sesebuah pasukan F1 bergantung kepada kepakaran pelbagai disiplin, bukan hanya kehebatan pelumba.
Shafiq berkata ini kerana pembangunan industri sukan permotoran memerlukan tenaga kerja daripada pelbagai bidang termasuk aspek teknikal, strategi dan pengurusan pasukan.
Beliau berkata kejayaan sesebuah pasukan perlumbaan juga bergantung kepada kerjasama erat antara pelbagai peranan termasuk pelumba, jurutera perlumbaan, kru teknikal dan pakar strategi.
"Semua jawatan atau peranan mempunyai fungsi masing-masing. Jurutera perlumbaan memastikan strategi digunakan tepat berdasarkan analisis dan data, manakala kru teknikal memastikan kereta berada dalam keadaan terbaik. Kerjasama itu menghasilkan kejayaan kepada sesebuah pasukan," katanya.
Shafiq berkata golongan muda yang berminat membina kerjaya dalam industri sukan permotoran perlu membangunkan kemahiran teknikal dan pengetahuan berkaitan automotif, dengan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi antara platform pembangunan bakat dalam bidang berkenaan.
Beliau berkata pembangunan bakat dalam industri itu perlu melihat keseluruhan ekosistem, bukan hanya melahirkan pelumba, tetapi turut menyediakan tenaga profesional dalam bidang teknikal dan pengurusan.
Menurutnya, Malaysia mempunyai potensi untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan dalam industri sukan permotoran berikutan minat masyarakat terhadap bidang automotif yang tinggi serta peluang kerjaya dan kemudahan bertaraf antarabangsa seperti SIC.
Untuk rekod, dua anak Malaysia berkhidmat selaku Jurutera Bendalir F1 Mercedes-AMG Petronas ialah Wan Mohd Saifullah Wan Saudi dan Emil Johan Bernsten selain Habibtullah Mohamad Fuad (Habib) dan Akmal Johari dalam kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP).
-- BERNAMA