Skip to main content

Dunia

Microsoft mohon maaf susulan gangguan global hampir 24 jam

Microsoft berkata pihaknya mengambil pendekatan pemulihan secara berperingkat berikutan skala gangguan yang besar bagi memastikan sistem kembali stabil. - Foto REUTERS
Microsoft berkata pihaknya mengambil pendekatan pemulihan secara berperingkat berikutan skala gangguan yang besar bagi memastikan sistem kembali stabil. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Microsoft memohon maaf atas gangguan besar perkhidmatan seperti Outlook dan Teams yang menjejaskan operasi di lebih 70 negara selama hampir 24 jam.
  • Gangguan bermula Khamis memberi kesan kepada sektor perniagaan, kerajaan, institusi kesihatan, serta pengguna individu, dengan pemulihan berperingkat sedang dijalankan.
  • Microsoft menjelaskan isu berpunca daripada peningkatan kapasiti rangkaian, bukan serangan siber, dan pakar gesa pelan kecemasan bagi hadapi gangguan masa depan.
Advertisement

LONDON: Microsoft memohon maaf selepas gangguan besar yang menjejaskan beberapa perkhidmatannya, termasuk Outlook dan Teams, menyebabkan gangguan operasi di puluhan negara selama hampir 24 jam.

Gangguan yang bermula pada Khamis itu menjejaskan pengguna Microsoft 365 di lebih 70 negara, melibatkan sektor perniagaan, agensi kerajaan, institusi kesihatan dan pengguna individu.

Microsoft memaklumkan perkhidmatan semakin pulih menjelang petang Jumaat, namun syarikat itu masih belum dapat memastikan bila pemulihan sepenuhnya akan dicapai, memetik laporan BBC.

Advertisement

Menurut syarikat gergasi teknologi itu, masalah berkenaan berpunca daripada isu teknikal yang berlaku ketika proses peningkatan kapasiti rangkaian dan tidak berkaitan dengan serangan siber atau sistem kecerdasan buatan (AI).

Gangguan itu memberi kesan meluas kepada pelbagai organisasi termasuk agensi kerajaan di Jepun dan Singapura, mahkamah di Filipina, hospital, perkhidmatan kereta api serta institusi awam di beberapa negara lain.

Advertisement

Di Amerika Syarikat, operasi di Dewan Perwakilan dilaporkan terganggu apabila kakitangan tidak dapat mengakses Outlook yang digunakan bagi urusan harian.

Microsoft berkata pihaknya mengambil pendekatan pemulihan secara berperingkat berikutan skala gangguan yang besar bagi memastikan sistem kembali stabil.

“Kami amat kesal atas gangguan yang dialami pelanggan dan rakan kongsi kami. Kami memahami kepercayaan yang diberikan kepada perkhidmatan kami dan memandang serius tanggungjawab itu,” kata jurucakap syarikat berkenaan.

Pakar keselamatan siber berkata insiden itu menyerlahkan kebergantungan tinggi organisasi di seluruh dunia terhadap segelintir penyedia perkhidmatan teknologi dan pengkomputeran awan.

Mereka turut menggesa syarikat serta agensi kerajaan menyediakan pelan kecemasan bagi memastikan operasi dapat diteruskan sekiranya gangguan seumpama itu berulang pada masa hadapan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement