KUALA LUMPUR: Pengguna Facebook dilaporkan mengalami masalah untuk mengakses ke laman media sosial tersebut, apabila akaun mereka didapati log keluar secara tiba-tiba, sejak sekitar 11.30 malam tadi.

Gangguan yang turut dialami platform Meta lain seperti Instagram, Facebook Messenger dan Threads itu difahamkan menjejaskan jutaan pengguna di seluruh dunia.

Pengguna melaporkan masalah termasuk log keluar secara automatik dari Facebook, dan apabila mereka cuba log masuk semula, mesej ralat "Something went wrong. Please try again.” (Sesuatu telah berlaku. Sila cuba lagi) telah tertera.

Di samping itu, pengguna Instagram pula melaporkan bahawa suapan mereka tidak disegarkan, selain tidak boleh melakukan perkongsian baharu.

Semakan sekitar jam 12.30 pagi Rabu menunjukkan bahawa laman Facebook telah pulih, dan sudah boleh diakses.