PUTRAJAYA: Laman sosial Facebook rasmi milik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu telah digodam kira-kira pukul 4 petang tadi, dan tidak boleh diakses oleh kesemua pentadbir akaun.

Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan hari ini mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa usaha mendapatkan balik akses akaun Facebook dengan nama 'Mohamad Sabu' sedang dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu sebarang status atau kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook 'Mohamad Sabu' selepas waktu ia digodam adalah bukan daripada Mohamad atau pentadbir yang sah.

Semakan di laman Facebook Mohamad Sabu yang mempunyai 340,000 pengikut itu mendapati hantaran terakhir di laman sosial itu adalah berkenaan lawatan kerja beliau di Kelantan yang dimuat naik kira-kira pukul 3 petang hari ini.

-- BERNAMA