KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fadhlina Sidek membuat laporan polis berkenaan penyebaran video menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memfitnahnya.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan dalam kenyataan hari ini menzahirkan rasa kesal dengan kandungan video berkenaan yang disifatkan berniat jahat.
“Penyebaran video itu adalah berniat jahat dan cubaan untuk menjatuhkan kehormatan dan membunuh karakter saya.
“Laporan polis telah dibuat dan saya mahu pihak polis menjalankan siasatan serta mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk mengambil sikap yang jelas dalam soal fitnah, pembunuhan karakter dan pelecehan seksual terhadap ahli politik wanita.
-- BERNAMA