Fadillah dahului senarai penerima Anugerah Sarawak sempena ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri

Fadillah mendahului senarai penerima Anugerah Kebesaran Negeri Sarawak sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-79 Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini. - Gambar fail Bernama
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendahului senarai penerima Anugerah Kebesaran Negeri Sarawak sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-79 Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dikurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) yang membawa gelaran Datuk Amar.
Bekas timbalan menteri Persekutuan yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Sarawak, Datuk Richard Wee Liang Huat @ Wee Liang Chiat pula menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Sebanyak 1,372 individu tersenarai untuk menerima anugerah kebesaran negeri sempena sambutan itu dengan lima daripada mereka menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk.Mereka terdiri empat timbalan menteri Sarawak iaitu Datuk Ibrahim Baki, Datuk Henry @ Harry Jinep, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Datuk Majang Renggi, serta Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Datuk Ik Pahon Joyik.
Sembilan lagi individu menerima anugerah Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran Datu, manakala 15 individu termasuk tiga yang sudah meninggal dunia, dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran Datuk.
Bekas wartawan dan penerima Anugerah Tokoh Wartawan HAWANA 2024, mendiang James Alexander Ritchie antara penerima anugerah PSBS itu.
Sambutan kali ini turut menyenaraikan tujuh penerima Johan Bintang Kenyalang (JBK), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (18 orang), Pingat Perwira Negeri (PPN) (15 orang), Pegawai Bintang Sarawak (PBS) (13 orang), Pegawai Bintang Kenyalang (PBK) (134 orang), Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB) (159 orang), Ahli Bintang Sarawak (ABS) (109 orang), Ahli Bintang Kenyalang (ABK) (157 orang), Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) (366 orang) dan Bentara Bintang Sarawak (BBS) (362 orang).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami