Fahaman liberal yang dilaporkan menular di Johor tidak serius dan dipercayai disebarkan oleh pihak dari China yang menyasarkan golongan berusia 40 tahun ke bawah.

Mendedahkan perkara itu kepada pemberita hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi berkata bagaimanapun pihaknya akan terus melakukan pemantauan selain akan mengadakan mesyuarat susulan dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Cawangan Khas Polis Johor.

"Saya telah mengadakan satu mesyuarat khas tempoh hari dan insya-Allah satu lagi mesyuarat tertutup akan diadakan," katanya yang ditemui pada majlis Hari Terbuka Hal Ehwal Agama Islam yang dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad di Dewan Raya Bandar Putra, di sini.

Beliau berkata antara yang akan dibincangkan pada mesyuarat tertutup itu ialah jumlah mereka yang dipercayai terbabit dalam kegiatan tersebut.

Isnin lepas, Tosrin mengakui ada pihak tertentu cuba menyebarkan fahaman liberal kepada umat Islam di negeri itu.

-- BERNAMA