KUALA LUMPUR: Memahami permintaan dan keutamaan pasaran sebelum memulakan perniagaan adalah penting untuk memastikan wujudnya sebuah pasaran yang terbuka, kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kiddocare Sdn Bhd Nadira Yusoff.

Beliau berkata selain itu langkah mempertimbangkan keperluan pasaran sebelum melancarkan sebuah perniagaan juga perlu diberikan keutamaan kerana tidak semua produk boleh menarik perhatian pasaran,

"Sebagai pengasas dan jurutera teknologi, saya sering terleka dalam membangunkan teknologi yang saya andaikan semua orang mahu sebaik sahaja teknologi itu memasuki pasaran," katanya semasa sesi Fireside Chat: Malaysia Startup Showcase di Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini, pada Selasa.

Beliau menekankan bahawa sesuatu produk tidak boleh terjual secara sendiri atau sebuah perniagaan juga tidak dapat mencapai skala pasarannya sendirian justeru, peralihan daripada usahawan solo kepada ketua yang boleh membina dan meneraju pasukan juga penting.

"Usaha itu melibatkan langkah mengenal pasti individu yang tepat untuk menyertai syarikat, memberi motivasi kepada mereka, memberikan tugas dan menggalakkan semangat kerja berpasukan," katanya.

Nadira mengulas soalan pemudah cara mengenai kesukaran atau kesilapan penting yang pemilik pemula niaga berharap seseorang memberitahu mereka sebelum melancarkan syarikat pemula masing-masing.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan CEO Pandai Education Sdn Bhd Khairul Anwar Mohamad Zaki berkata kemahiran baharu diperlukan untuk mengembangkan sebuah syarikat yang mampan.

"Pada asasnya, kami terpaksa beralih daripada menumpukan semata-mata kepada pembangunan produk, aspek yang diperlukan untuk mencipta produk atau perkhidmatan, kepada 'memakai topi yang berbeza' yang melibatkan membina sebuah perniagaan secara keseluruhan.

"Apabila meneroka untuk membina perniagaan, kami mendapati usaha itu melibatkan pelbagai aspek seperti operasi, pemasaran, jualan, perakaunan, kewangan dan banyak lagi," katanya.

Pandai Education ialah sebuah syarikat pemula niaga teknologi pendidikan.

Khairul Anwar berkata selain itu, pengambilan individu yang lebih berkemahiran dalam bidang masing-masing sebagai antara tenaga kerja adalah penting kerana boleh mendorong syarikat untuk berkembang.

-- BERNAMA