KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengumumkan kumpulan pertama pelaburan di bawah strategi Dana Perintisnya yang berjumlah RM100 juta, terdiri daripada dua pelaburan langsung dalam syarikat pemula niaga Malaysia dan dua komitmen dana modal teroka.

KWAP dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya telah melabur dalam dua syarikat Malaysia yang berpotensi tinggi, Bateriku (M) Sdn Bhd dan Lapasar Sdn Bhd, untuk terus menyokong rancangan pertumbuhan dan pengembangan mereka.

"Bateriku adalah penyedia perkhidmatan automotif yang sedang berkembang pesat dengan rangkaian rakan kongsi di seluruh negara, menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan keterangkuman kewangan.

"Manakala Lapasar merupakan pasaran borong dalam talian yang memberi tumpuan kepada memenuhi keperluan industri barangan pengguna laris, mempercepatkan penggunaan pendigitalan di seluruh ekonomi," katanya.

Selain itu, KWAP berkata, kumpulan tersebut juga memberikan komitmen kepada dua dana modal teroka, iaitu Vynn Capital, dana tempatan yang melabur dari peringkat permulaan dengan tumpuan kepada sektor mobiliti dan rantaian bekalan, serta Antler, modal teroka peringkat awal yang paling aktif di dunia daripada pra-pelancaran kepada Siri A dan seterusnya.

"Antler baru-baru ini memperluaskan program utamanya ke Malaysia, yang bertujuan untuk menyokong pengasas melancarkan syarikat pemula niaga mereka dan mendapatkan pembiayaan.

"Ini merupakan yang pertama dalam portfolio pelaburan dana yang akan disusun dengan teliti untuk menyuntik modal ke dalam bahagian ekosistem tempatan yang paling memerlukannya," katanya.

Ketua Pegawai Pelaburan KWAP Hazman Hilmi Sallahuddin berkata dana persaraan perkhidmatan awam itu yakin dengan prospek dan potensi pelaburan dalam empat entiti berkenaan dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan mereka, menambah nilai dan memberi sokongan kepada KWAP bagi memastikan kejayaan.

"Pelaburan ini juga menandakan komitmen untuk mengiktiraf dan memupuk idea inovatif selaras dengan inisiatif Ekonomi Madani.

"Dengan kemunculan peluang menarik dalam ekosistem pemula niaga Malaysia, kami berbangga mengumumkan pelaburan sulung Dana Perintis," katanya.

Hazman berkata ketika KWAP meneruskan pelancaran Dana Perintisnya akan ada lebih banyak lagi pelaburan dan pengumuman yang akan dibuat.

-- BERNAMA