Skip to main content

Malaysia

Fahmi bayang wujud ‘faktor tertentu’ di sebalik sekatan akses MyKhas dua Ahli Parlimen

FB Lee Chean Chung & Wong Chen
Fahmi membayangkan kemungkinan wujud 'faktor tertentu' yang menyebabkan akses portal MyKhas disekat terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung (kiri) dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen (kanan). -Gambar fail

PUTRAJAYA: Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil membayangkan kemungkinan wujud “faktor tertentu” yang menyebabkan akses portal MyKhas disekat terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sekatan itu hanya melibatkan peruntukan khas yang disalurkan melalui portal MyKhas dan tidak menjejaskan hak atau elaun Ahli Parlimen di bawah Parlimen.

Menurutnya, peruntukan berkenaan merujuk kepada peruntukan khas Perdana Menteri yang disalurkan menerusi portal tersebut.

"Peruntukan khas yang diberikan oleh Perdana Menteri itulah yang dimaksudkan melalui laman sesawang MyKhas.

"Ia merujuk kepada peruntukan khas Perdana Menteri dan tidak menyentuh hak, elaun atau apa-apa aspek lain yang diberikan kepada seorang wakil rakyat melalui Parlimen.

"Oleh itu, sudah pasti ada sesuatu yang telah berlaku yang mengakibatkan sekatan ini dikenakan kepada mereka," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa sekatan akses portal MyKhas terhadap kedua-dua Ahli Parlimen itu mempunyai kaitan dengan pendirian politik mereka.

Fahmi turut meminta orang ramai mengambil maklum penjelasan yang diberikan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, penduduk di kawasan Parlimen Petaling Jaya dan Subang masih boleh mengemukakan permohonan bantuan atau peruntukan melalui saluran yang disediakan.

"Saya ambil maklum dan umum juga perlu mengambil maklum bahawa ICU membuat kenyataan bahawa warga dan penduduk di kedua-dua kawasan Parlimen itu masih boleh membuat permohonan yang akan diteliti pihak ICU JPM untuk diluluskan," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng Yih Miin mendakwa sekatan akses portal MyKhas terhadap kedua-dua pemimpin itu berkait dengan pendirian politik mereka.

Beliau mendakwa kehadiran Lee Chean Chung dan Wong Chen pada pelancaran Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Mei lalu menjadi faktor yang mencetuskan tindakan berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement