SUBANG JAYA: Kemajuan dalam pembedahan berbantukan robot sedang mengubah rawatan penyakit pankreas dengan menawarkan ketepatan lebih tinggi kepada pesakit, mengurangkan komplikasi serta mempercepat proses pemulihan.
Pakar Bedah Hepatobiliari dan Pankreas serta Pembedahan Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Sunway City (SMC), Dr Bong Jan Jin berkata, pembedahan pankreas yang sering dikaitkan dengan insisi besar dan tempoh kemasukan ke hospital yang panjang, telah mencatat kemajuan signifikan menerusi penggunaan teknik invasif minimum dan pembedahan robotik.
“Pembedahan pankreas melibatkan pembuangan sebahagian daripada pankreas, iaitu organ yang terletak jauh di belakang perut. Disebabkan kedudukannya serta berhampiran dengan saluran darah utama, pembedahan ini dianggap sangat kompleks dan memerlukan kemahiran khusus,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
Dr Bong berkata, pembedahan lazimnya dilakukan bagi kes tumor malignan dan benigna, keradangan kronik seperti pankreatitis, serta kecederaan traumatik pada pankreas akibat kemalangan.
Antara prosedur yang lazim dilakukan ialah pankreatektomi distal, yang melibatkan pembuangan bahagian badan dan ekor pankreas.
Dalam kes tertentu, limpa juga mungkin perlu dibuang, walaupun pakar bedah berusaha untuk mengekalkannya sekiranya boleh memandangkan peranannya dalam fungsi sistem imun.
“Limpa merupakan antara organ yang mengawal fungsi sistem imun badan, selain memainkan peranan penting dalam pertahanan semula jadi tubuh terhadap ancaman bakteria dari luar.
“Tanpa limpa, sama ada akibat pembedahan, kecederaan atau penyakit yang menyebabkan organ itu terpaksa dibuang, pesakit akan terdedah kepada risiko jangkitan tertentu,” katanya.
Beliau berkata, pembedahan terbuka secara tradisional memerlukan insisi besar pada bahagian abdomen, yang boleh menyebabkan kesakitan selepas pembedahan yang signifikan, meningkatkan risiko jangkitan pada luka pembedahan serta melambatkan tempoh pemulihan.
“Perkembangan terkini ialah kita kini beralih kepada pembedahan robotik. Melalui pembedahan robotik, pakar bedah melakukan prosedur menerusi insisi kecil menggunakan lengan robotik yang dikawal dari sebuah konsol.
“Sistem ini menyediakan paparan tiga dimensi organ dalaman yang diperbesarkan menerusi kamera, manakala pakar bedah mengawal lengan robotik tersebut.
"Lengan robotik ini mempunyai pelbagai darjah pergerakan yang meniru pergerakan pergelangan tangan manusia secara semula jadi, sekali gus membolehkan ketepatan yang lebih baik dalam ruang yang sempit,” katanya.
Dr Bong berkata, pesakit yang menjalani pembedahan pankreas robotik secara umumnya mengalami kurang kesakitan, kurang bergantung kepada ubat tahan sakit yang kuat serta pemulihan fungsi usus yang lebih cepat berbanding pembedahan konvensional.
“Pembedahan robotik biasanya membolehkan pemulihan yang lebih cepat, sekali gus membolehkan pesakit bergerak lebih awal. Jika tiada komplikasi, pesakit boleh dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh tujuh hingga 10 hari dan kembali menjalani aktiviti harian dengan lebih cepat,” katanya.
Mengenai kelayakan pesakit, Dr Bong berkata, kesesuaian untuk menjalani pembedahan robotik atau laparoskopik bergantung kepada lokasi dan saiz tumor, serta sama ada saluran darah utama terlibat.
Beliau berkata, terdapat amalan yang semakin banyak dilakukan, iaitu pemberian kemoterapi sebelum pembedahan bagi pesakit kanser pankreas terpilih.
“Kemoterapi neoadjuvan membantu mengecutkan tumor dan meningkatkan kemungkinan untuk dibuang sepenuhnya. Pendekatan ini telah dikaitkan dengan hasil jangka panjang yang lebih baik dalam kes yang sesuai,” katanya.
Mengulas kebimbangan biasa pesakit, Dr Bong berkata, ramai pesakit risau mengenai risiko menghidap diabetes selepas menjalani pembedahan pankreas.
“Dalam kes pankreatektomi distal, ia bergantung kepada sama ada anda sudah mempunyai keadaan pradiabetes sejak awal, individu yang normal atau sudah menghidap diabetes. Jika anda sudah menghidap diabetes, dos ubat diabetes atau insulin mungkin perlu ditingkatkan. Sekiranya keperluan insulin meningkat, keadaan diabetes anda mungkin menjadi lebih teruk buat sementara waktu.
“Jika anda seorang individu normal tanpa sejarah diabetes, kemungkinan untuk menghidap diabetes adalah sangat rendah kerana apabila pesakit kehilangan 50 peratus daripada pankreas, baki 50 peratus lagi masih mampu menjalankan fungsi merembeskan insulin dan enzim,” katanya.
Beliau turut menasihati pesakit supaya mengambil makanan dalam kuantiti kecil tetapi lebih kerap, serta mengamalkan diet tinggi protein, rendah lemak dan rendah gula pada peringkat awal selepas pembedahan bagi menyokong proses pemulihan.
“Ini akan membolehkan badan menyesuaikan diri dengan norma baharu, dengan pankreas perlu beradaptasi dan mengimbangi kehilangan 50 peratus daripada fungsinya. Pankreas masih boleh mengimbangi dan menyesuaikan diri dengan keadaan baharu tersebut. Biasanya, dengan nasihat serta panduan pemakanan yang diberikan, kita boleh mencapai hasil ini dengan agak berjaya,” katanya.
Dr Bong berkata, dalam jangka panjang, kebanyakan pesakit pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan robotik, dengan hanya empat insisi kecil pada bahagian abdomen sebagai tanda yang kelihatan.
-- BERNAMA