BANDARAYA GAZA/ISTANBUL: Serangan udara Israel memusnahkan sebuah masjid dan khemah rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di tengah Bandaraya Gaza pada Selasa, menyebabkan ratusan penduduk hilang tempat berteduh, lapor Anadolu Ajansi.
Koresponden Anadolu melaporkan, jet pejuang Israel menyerang Masjid Al-Muttaqin yang terletak berhampiran Pertubuhan Pemuda Kristian (YMCA) di tengah Bandaraya Gaza, memusnahkan sepenuhnya bangunan berkenaan.
Serangan itu turut memusnahkan khemah yang menempatkan keluarga kehilangan tempat tinggal selain menyebabkan kerosakan teruk pada rumah berhampiran dan harta benda awam.
Menurut koresponden itu, ratusan rakyat Palestin hilang tempat berteduh susulan serangan berkenaan yang menyebabkan kemusnahan besar di kawasan terbabit.
Khemah yang musnah itu menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka dimusnahkan dalam serangan Israel, sekali gus memaksa mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan akses yang terhad kepada keperluan asas.
Serangan itu berlaku ketika Israel terus melancarkan serangan harian di Semenanjung Gaza meskipun perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Okt 2025.
Pada 2 Julai, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Gaza memaklumkan, serangan Israel telah memusnahkan sepenuhnya 1,050 masjid dan merosakkan sebahagian lagi 191 masjid daripada keseluruhan 1,275 masjid yang wujud di wilayah itu sebelum perang.
Sejak Israel melancarkan serangan ketenteraan ke atas Gaza pada 8 Okt 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin terkorban dan lebih 174,000 yang lain cedera, manakala kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di wilayah itu telah musnah, menurut pihak berkuasa Palestin.
-- BERNAMA-ANADOLU