BUTTERWORTH: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berpuas hati dengan kelancaran penganjuran program RIUH Pi HAWANA sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang berlangsung di tapak parkir Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth, di sini.
Beliau berkata program itu bukan sahaja berjaya menarik kehadiran pengunjung, malah menyediakan platform untuk mengetengahkan bakat artis tempatan daripada pelbagai generasi.
“Setakat ini saya puas hati. Saya tengok ramai artis yang dibawa seperti Exists. Saya rasa ini satu peluang yang baik untuk kita tonjolkan artis-artis, bukan hanya veteran tetapi juga yang muda untuk tatapan semua,” katanya kepada pemberita di program itu malam tadi.
Fahmi berharap orang ramai, khususnya penduduk di sekitar Pulau Pinang akan mengambil peluang menghadiri program berkenaan yang berlangsung hingga Ahad untuk menikmati suasana, mendengar muzik dan menyertai pelbagai acara disediakan.
Beliau juga berharap program itu dapat diteruskan pada penganjuran HAWANA akan datang bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan tempatan memperkenalkan produk masing-masing.
Karnival RIUH Pi HAWANA anjuran MyCreative Ventures menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan dan 20 vendor makanan serta minuman selain menawarkan bengkel interaktif yang memberi peluang kepada orang ramai meneroka pelbagai aktiviti kreatif.
Pentas acara turut diserikan dengan 18 persembahan muzik secara langsung dengan menampilkan barisan artis ternama serta bakat tempatan termasuk Exists, Bunkface, Masdo, Sakura Band, Fugo, Budak Nakal Hujung Simpang dan Chelsia Ng.
HAWANA yang diperkenalkan pada 2018 dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi peneraju.
-- BERNAMA