MALAYSIA
Fahmi terkilan Allahyarham Ross Ariffin tak sempat cipta lagu Hari Kebangsaan

Fahmi bertemu Adam Roslan, anak kepada Allahyarham Ross Ariffin di perkarangan Unit Forensik Hospital Tengku Permaisuri Norashikin Kajang. - Gambar/ Astro AWANI
KAJANG: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan Allahyarham Ross Ariffin sebagai seorang komposer yang mampu menghasilkan karya unik.
Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan Allahyarham Ross Ariffin sebagai komposer berbakat yang mampu menghasilkan karya unik, dan meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat melibatkan Allahyarham dalam projek seni kerajaan termasuk lagu sempena Hari Kebangsaan.
- Fahmi berkongsi bahawa Allahyarham tetap gigih bermain muzik walaupun beberapa kali diserang angin ahmar, dan pernah dibawa ke studio Angkasapuri untuk bertemu dengan Ketua Pengarah RTM serta pemimpin orkestra RTM bagi mengusahakan projek muzik bersama.
- Allahyarham Ross Ariffin meninggal dunia di Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan. Fahmi dan pasukannya akan berusaha mendapatkan semula karya yang pernah dihasilkan Allahyarham untuk dilengkapkan.
“Tetapi tahap kesihatan Allahyarham tidak mengizinkan. Sebelum ini, pasukan saya pernah dapatkan sebuah piano untuk Allahyarham bermain.
“Meskipun beberapa kali diserang angin ahmar, Allahyarham sebelum ini masih gigih bermain muzik. Muzik itu seolah-olah nafas baginya,” kata Fahmi.
Kongsi Fahmi yang memanggil Allahyarham sebagai 'Uncle Ross', pemergian Allahyarham disifatkan satu kehilangan besar dalam industri muzik tanah air.
Dalam masa sama, Fahmi bersama pasukannya akan berusaha mendapatkan semula karya yang pernah dihasilkan Allahyarham selepas pertemuan bersama dua tahun lalu.
“Mungkin kita cuba cari balik dan kita usahakan untuk lengkapkan lagu yang telah dimulakan. Saya ingat lagi Allahyarham pernah kata, ‘it’s in my head’ (merujuk lagu yang Allahyarham bakal siapkan).
“Itu bagi saya… kita cuba tetapi ini ketentuannya. Malah saya pernah bawa Allahyarham ke studio Angkasapuri bertemu dengan Ketua Pengarah RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Pengarah Muzik dan juga pemimpin orkestra RTM, Datuk Mokhzani Ismail.
“Saya minta supaya diusahakan (bermain piano). Mungkin kita cuba cari balik dan kita usahakan untuk lengkapkan lagu yang telah Allahyarham mulakan,” katanya.
Sementara itu, anak lelaki Allahyarham, Adam Roslan mengambil pendekatan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pemergian bapanya.
Adam ditemui di Unit Forensik, Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang pada jam 12 tengah hari tadi hadir bagi tujuan pengesahan tuntut jenazah.
Beliau turut memohon jasa baik media untuk menghormati permintaannya itu.
Adam yang ditemani adiknya kelihatan sebak terutama bertemu Fahmi yang hadir memberi penghormatan terakhir.
Allahyarham Ross Ariffin atau nama penuhnya Roslan Ariffin Jamil menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.30 petang semalam di Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang.
Jenazah Allahyarham akan disolatkan dan dikafankan di Surau Muhibbah, Taman Muhibbah, Kajang seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang sebelum solat asar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami