Fahmi tinjau pelaksanaan BUDI95, kumpul maklum balas

Tinjauan itu juga bertujuan mengumpul maklum balas secara langsung daripada pengusaha stesen minyak dan pengguna mengenai BUDI95. - Foto hiasan/BERNAMA
KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini meninjau pelaksanaan sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di Stesen Petronas Jalan Lintas Kepayan di sini antaranya bagi menilai kestabilan sambungan Internet yang menjadi tunjang kepada sistem terbabit.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop.
Tinjauan itu juga bertujuan mengumpul maklum balas secara langsung daripada pengusaha stesen minyak dan pengguna mengenai BUDI95.
Kementerian Komunikasi melalui J-KOM juga akan terus memantau pelaksanaan sistem berkenaan bagi memastikan penyampaian maklumat yang jelas dan inklusif serta menggerakkan penambahbaikan berterusan berdasarkan maklum balas rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.BUDI95 yang disokong oleh sambungan Internet yang stabil telah menunjukkan prestasi yang baik sejak dilaksanakan secara menyeluruh pada 30 Sept lepas.
Sementara itu, menurut kenyataan dikeluarkan J-KOM, sambungan Internet yang stabil dan pantas memainkan peranan penting dalam memastikan semakan kelayakan serta pengesahan transaksi dapat dilakukan dengan efisien.
"Sejak pelaksanaannya, sistem BUDI95 menunjukkan prestasi yang stabil dengan keupayaan memproses puluhan ribu transaksi setiap minit, sekali gus membuktikan keberkesanannya sebagai asas kukuh kepada pelaksanaan subsidi yang lebih tepat, cekap dan adil," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami