SUNGAI PETANI: Pelaksanaan Program Susu Sekolah (PSS) iaitu pemberian susu kepada pelajar sekolah rendah terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) menjadi platform dalam meningkatkan pengambilan nutrisi dalam kalangan mereka selain melahirkan individu yang cerdas serta cemerlang dalam bidang akademi.

Menurut Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal, program yang dikelolakan melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu juga mampu membantu meningkatkan pertumbuhan mental dan fizikal murid termasuk pemegang kad OKU dan Orang Asli.

Beliau menjelaskan, susu merupakan sumber terbaik dalam usaha meningkatkan tahap pemakanan dan kesihatan di samping membantu pertumbuhan fizikal serta mental secara seimbang.

Menurutnya, setakat ini, Farm Fresh telah membekalkan susu kepada sembilan buah negeri melibatkan 390,000 murid dari 3,560 buah sekolah bermula April 2022 sehingga Mac 2023 dengan susu yang dibekalkan adalah UHT 200 ml tanpa perisa penuh krim dengan jenama Yarra.

"Saya fikirkan ini adalah program yang baik untuk terutama untuk golongan keluarga berpendapatan rendah (B40).

"Saya dimaklumkan oleh KPM, (jumlah pengagihan) semakin bertambah, selepas bencana COVID-19 (atau endemik), golongan yang mendapat faedah PSS ini adalah lebih kurang 800,000 kanak-kanak.

"Faedah susu ini memang terbaik untuk nutrisi kanak-kanak dari segi fizikal dan mental, hal ini membantu mereka mendapat pembelajaran terbaik, dapat membina jati diri, kita sebagai syarikat Malaysia, memang support (sokong) inisiatif sebegini," katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia peringkat kebangsaan, di sini, pada Selasa.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Mah Hang Soon memaklumkan, proses pemilihan pembekal turut dilakukan dengan penilaian yang sistematik bagi memastikan kualiti dan keselamatan minuman yang dibekalkan.

Proses itu juga, kata beliau, dilaksanakan secara kontrak terbuka dalam membantu memastikan susu sampai di sekolah dengan selamat serta pemantauan dilakukan di peringkat kilang dan sekolah.

"Apabila menjadi habit (tabiat) mereka untuk minum susu sudah tentunya penerimaan dari segi masyarakat kita ini akan semakin baik

“Pelaksanaan tender terbuka juga sudah tentunya dari segi keberkesanan penyampaian dan pencapaian anak murid kita untuk menerima bantuan RMT dan susu ini akan bertambah baik," tegasnya.

Untuk rekod, program CSR Farm Fresh bersempena PSS telah menjelajah 20 buah sekolah dengan memberikan pendidikan kebaikan minum susu, pemberian susu dan majalah Kuntum percuma selain penekanan amalan kitar semula oleh Tetra Pak.

* Artikel ini merupakan kandungan berbayar.