PUTRAJAYA: Melihat kepada perkembangan semasa, Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mungkin berakhir lebih awal daripada dirancang sebelum ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tidak mustahil Fasa 2 yang dijangka bermula April juga akan dimulakan lebih awal.

Menurutnya, perkembangan itu juga dipengaruhi keputusan Malaysia untuk tidak lagi menggunakan dasar ‘satu dos suntik, satu dos simpan’ seperti sebelum ini bagi mempercepatkan proses vaksinasi.

BACA: Panggilan telefon peringatan, bantuan untuk daftar vaksin akan dilaksana

“Minggu ini, kita telah menarik balik polisi satu dos suntik, satu dos simpan, dan kita terus gunakan dos-dos tersebut dan tidak perlu untuk menunggu kepada penghantaran baharu sebelum menggunakan dos-dos tersebut.

“Dengan cara itu, kita akan boleh menamatkan Fasa 1 lebih awal dan memulakan Fasa 2 lebih awal juga. Kadar vaksinasi pada ketika ini boleh naik sehingga 20,000 dos sehari, berdasarkan kepada penghantaran vaksin,” katanya.


Kerajaan telah meluluskan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19

Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dalam pada itu, mengulas laporan media antarabangsa yang mendakwa vaksin AstraZeneca adalah haram, Khairy berkata pihaknya akan mengkaji terlebih dahulu kandungan vaksin tersebut.

“Kita akan kaji bahan dan komponen dalam vaksin tersebut. Kita akan nyatakan pendirian rasmi nanti,” ujarnya.

BACA: Vaksinasi: Bantuan khas hingga RM500,000 untuk kesan sampingan serius, hilang upaya kekal

Media di Indonesia melaporkan vaksin AstraZeneca tidak halal dari segi syariah dan Majlis Ulama Tertinggi Indonesia dalam laman webnya mendakwa vaksin itu 'haram' kerana proses pembuatannya menggunakan bahan daripada babi.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa dan bermula pada 24 Februari lepas dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi penerima pertama.


Vaksin COVID-19 | PM terima dos kedua vaksin hari ini

Fasa 1 yang bermula dari Februari hingga April 2021 adalah bagi kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula (dari April hingga Ogos) membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta Orang Kurang Upaya melibatkan 9.4 juta orang.

Fasa 3 (dari Mei 2021 hingga Februari 2022) adalah untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.