Skip to main content
Advertisement

Malaysia

[TERKINI] Fasa kedua penghantaran tahanan warga Myanmar akan disegerakan - KDN

Hantar Myanmar
Hari ini, seramai 1,476 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal menerusi Ops Pier 1.0. -Gambar Astro AWANI/Seth Akmal
Advertisement

LUMUT: Kerajaan akan menyegerakan fasa kedua penghantaran pulang tahanan warga Myanmar sebaik sahaja proses pengenalpastian dan dokumentasi individu bersama kerajaan Myanmar diselesaikan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Makhzan Mahyuddin, berkata tempoh pelaksanaannya bergantung kepada kelancaran proses berkenaan sebelum penghantaran seterusnya dapat dilakukan.

Menurutnya, terdapat individu yang mungkin tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, sekali gus memerlukan proses pengesahan bersama pihak Myanmar.

“Kini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bersama dengan Kedutaan Myanmar untuk mengesahkan individu-individu tersebut,” katanya pada sidang media di geladak penerbangan KD Sri Indera Sakti, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, hari ini.

Makhzan berkata proses berkenaan turut melibatkan penyediaan dokumen yang diperlukan bagi membolehkan individu terbabit keluar dari Malaysia dan diterima semula oleh kerajaan Myanmar.

“Sekiranya proses ini dapat dilaksanakan dengan segera, kita akan dapat melaksanakan penghantaran pulang itu dengan segera.

“Tetapi kalau proses ini mengambil sedikit masa, penghantaran pulang akan tertangguh sedikit,” katanya.

Bagaimanapun, Makhzan menegaskan Malaysia dan Myanmar kekal dengan persetujuan untuk melaksanakan penghantaran pulang melibatkan keseluruhan 5,000 warga Myanmar secara berperingkat.

“Tetapi tempoh untuk pelaksanaan, kita akan cuba segera secepat mungkin berdasarkan proses dokumentasi dan mengenal pasti individu-individu tersebut,” katanya lagi.

Pada masa sama, Kementerian Luar akan terus menyelaras dengan kerajaan Myanmar berhubung pelaksanaan penghantaran pulang bagi fasa berikutnya.

Tarikh dan jumlah individu bagi fasa seterusnya akan ditentukan selepas mengambil kira proses pengesahan individu, kesiapsiagaan operasi serta penyelarasan dengan kerajaan Myanmar.

KDN melalui JIM pula akan meneruskan persediaan yang diperlukan supaya fasa berikutnya dapat dilaksanakan selepas semua perkara berkaitan dimuktamadkan.

Hari ini, seramai 1,476 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal menerusi Ops Pier 1.0, sekali gus menjadi kumpulan pertama daripada 5,000 individu yang dipersetujui untuk dihantar pulang secara berperingkat.

Kesemua individu dalam fasa pertama itu dikenal pasti kerajaan Myanmar sebelum senarai nama mereka dikemukakan kepada Malaysia melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos lalu.

 

Must Watch Video

Advertisement