KAHERAH: Fasa pertama bantuan rakyat Malaysia kepada penduduk Gaza dengan keseluruhan 100 kontena melibatkan barangan keperluan asas bernilai RM12 juta, bermula pada Isnin.

Difahamkan, fasa pertama ini melibatkan 10 kontena yang dijadual akan dilancarkan pada jam 3 petang waktu tempatan, ke pintu sempadan Rafah sebelum memasuki Gaza.

Misi kemanusiaan kecemasan yang digerakkan enam badan bukan kerajaan diketuai Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) itu akan dibantu dengan inisiatif hubungan diplomatik antara Malaysia dan Mesir.

Inisiatif antara kerajaan dengan kerajaan itu akan membantu kelancaran misi seperti menguruskan semua prosedur termasuk kemasukan barangan bantuan ke Rafah yang agak sukar dan ketat.

Penghantaran melibatkan kontena mengandungi barangan asas seperti makanan, selimut, khemah, kit kebersihan diri serta keperluan ibu dan bayi.

Pada 23 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan pelepasan misi itu berkata, Malaysia komited membantu Gaza dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menghubungi Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi bagi memudahkan proses penghantaran.

Foto Astro AWANI

Selain Mapim dan Cinta Gaza Malaysia (CGM), misi itu turut dijayakan dengan kerjasama Iman Care Malaysia, Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia, Persekutuan Persatuan Islam New Zealand dan Yayasan Al-Khair dari United Kingdom.

Perang di Gaza memasuki fasa kritikal dengan lebih 34,000 rakyat Palestin telah syahid akibat pengeboman rejim Zionis sejak 7 Oktober tahun lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini memberi amaran mengenai krisis kelaparan dan kebuluran yang berlaku akibat kekurangan makanan dan keperluan asas di Gaza selain penyakit berjangkit yang merebak akibat kekurangan barangan kebersihan.

Foto Astro AWANI