Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu masyarakat 'sedar' bahawa sebarang fatwa yang dikeluarkan sarjana Islam masih belum mencukupi dan tidak meliputi semua aspek kehidupan.

Jelasnya, sejarah turut membuktikan banyak fatwa yang diubah dan diberi penambahbaikan dengan syarat tidak bertentangan dengan ajaran Islam sendiri.

"Ia terbukti melalui beberapa contoh sebelum ini, termasuk pengharaman penggunaan lampu elektrik di dalam masjid atau menggunakan kenderaan bagi mengusung jenazah serta protes terhadap pemakaian seluar dan topi mengikut barat oleh tentera Kesultanan Turki pada suatu masa lalu.

"Fatwa seperti yang digariskan sebelum ini adalah tidak lagi relevan dan tidak bertentangan dengan ajaran agama," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kuala Lumpur 2014 di sini hari ini.

Persidangan tiga hari yang bertemakan "Negara sivil daripada perspektif Islam" itu turut dihadiri Bekas Timbalan Presiden Satu Sudan, Syeikh Dr Ali Osman Taha dan Bekas Menteri serta Penasihat Presiden Sudan, Dr Ghazi Solehuddin.

Sementara itu, Dr Mahathir mengakui wujud golongan yang semakin berani mencabar nilai masyarakat dengan mempromosi kesamarataan sehingga mengenepikan nilai moral.

Ia termasuk cubaan secara terangan seperti menghalalkan perkahwinan sejenis atas nama kebebasan hak asasi manusia.

Dr Mahathir dalam pada itu mahu masyarakat mengekalkan perpaduan ummah dan berpegang kukuh kepada ajaran al-Quran.

"Ia penting memandangkan gelombang ideologi bagi memesongkan akidah umat Islam semakin ketara.

"Malahan ia sampai ke tahap berbunuhan demi memenuhi kepentingan peribadi," ujarnya.

Dr Mahathir turut mengakui, segelintir umat Islam kini semakin berpecah dan tidak lagi mementingkan ajaran agama yang mengutamakan persaudaraan serta ikatan ukhwah.