MALAYSIA
Felda runding lanjut pajakan tanah kilang MSM Prai

Ahmad Shabery menunjukkan gula mentah semasa melawat kilang gula MSM di Perai selepas pelancaran Gula Prai Edisi Khas Felda di sini hari ini. - Foto Bernama
BUTTERWORTH: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan berunding dengan Kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bagi mempertimbangkan lanjutan tempoh pajakan tanah kilang penapisan gula milik Malaysia Holdings Berhad (MSM Prai) di Perai.
Ringkasan AI
- Felda akan berunding dengan Kerajaan Pulau Pinang dan RAC untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah kilang penapisan gula MSM Perai yang akan tamat dalam lima tahun, bagi mengelakkan gangguan kepada rantaian bekalan gula negara.
- Kilang MSM Perai memainkan peranan penting dalam pengeluaran gula negara, membekalkan 24,000 tan sebulan dan mengekalkan stok penimbal sebanyak 32,000 tan, dengan lokasi strategik berhampiran pelabuhan dan landasan kereta api.
- Jika pajakan tidak disambung, Felda perlu pertimbang bina kilang baharu atau naik taraf fasiliti di Johor, yang masing-masing memerlukan kos tinggi antara RM1 bilion hingga RM4 bilion, dan tiada lokasi alternatif dikenal pasti setakat ini.
"Kita faham tanah itu dipajak daripada RAC yang berkaitan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan menghargai hasrat kerajaan negeri membangunkan kawasan ini.
"Namun, sebarang penutupan operasi kilang itu akan memberi impak besar kepada rantaian bekalan gula negara," katanya pada sidang media selepas meninjau kilang penapisan gula terbesar negara itu dan melancarkan Gula Perai Edisi Khas Felda sebagai penghormatan kepada peneroka Felda.
Ahmad Shabery berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan MOT bagi melanjutkan tempoh pajakan tanah itu sehingga 30 tahun lagi bagi membolehkan MSM membuat perancangan jangka panjang, termasuk kemungkinan pemindahan operasi pada masa depan.
Beliau memaklumkan rundingan awal dengan Chow sudah diadakan dan satu pertemuan rasmi akan diatur dalam masa terdekat bagi membincangkan isu itu secara terperinci, memandangkan kilang terbabit terletak di atas tanah seluas 7 hektar (19.7 ekar) milik RAC.
"Jika kilang MSM Perai ditutup, kami perlu mempertimbangkan sama ada membina kilang penapisan gula baharu atau menaik taraf fasiliti sedia ada di Johor, namun kedua-dua pilihan itu memerlukan perbelanjaan besar.
Pembinaan kilang baharu dianggarkan menelan kos RM4 bilion, manakala meningkatkan kapasiti pengeluaran di kilang sedia ada di Johor pula memerlukan lebih RM1 bilion," katanya.
Menjawab pertanyaan sama ada terdapat lokasi alternatif bagi menggantikan kilang MSM di Perai, Ahmad Shabery menjelaskan tiada lokasi lain dikenal pasti setakat ini dan mana-mana lokasi baharu mesti memenuhi keperluan logistik yang ketat.
Beliau memaklumkan MSM kini hanya mengendalikan dua kilang penapisan gula di negara ini, masing-masing di Perai dan Johor, dengan kilang di Perai menjadi antara pengeluar utama yang memainkan peranan penting menampung keperluan pasaran domestik.
Menurutnya MSM bertanggungjawab membekalkan 24,000 tan gula setiap bulan dan mengekalkan stok penimbal negara sebanyak 32,000 tan gula kasar dan halus bagi memastikan bekalan konsisten di pasaran tempatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami