LANGKAWI: Langkah mencatu perjalanan feri di Pulau Langkawi kepada tiga trip sehari adalah tindakan yang terpaksa dilakukan dan tidak dapat dielakkan demi menjamin kelangsungan operasi feri bagi tempoh jangka panjang.
Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Lt Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid memaklumkan, kenaikan harga minyak diesel industri secara mendadak menjadi antara punca tindakan berkenaan diambil sekaligus memastikan kerugian operasi dapat diminimumkan.
Advertisement
Tambahnya, tindakan pengurangan trip perjalan feri itu juga bukan satu tindakan yang menunjukkan kelemahan konsortium pengusaha feri sebaliknya satu tindakan bertanggungjawab bagi memastikan aspek keselamatan operasi dan kebajikan pekerja tidak terjejas.
Beliau bagaimanapun, menjelaskan, jumlah trip akan ditambah sekiranya terdapat permintaan yang tinggi pada musim-musim tertentu bagi memastikan setiap trip perjalanan lebih efisien dan optimum.
"Pihak Pengusaha feri Langkawi ini menanggung kos yang terlalu tinggi dan kami terpaksa mengurangkan trip bagi mengurangkan kos operasi kami untuk tanggung yang melebihi 100 peratus, agar kelangsungan feri dapat diteruskan dan dikekalkan supaya feri di Langkawi tidak dapat ditutup seterusnya," katanya.
Norhafiz berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Terminal Jeti Kuah, Langkawi, di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan, Ferry Line sentiasa komited dalam menyokong industri pelancongan Langkawi termasuk terpaksa menyerap kos operasi daripada jualan tiket feri yang paling murah berbanding di pulau-pulau yang lain dengan jarak yang sama.
"Berkenaan kadar tambang antara Langkawi dengan pulau-pulau yang lain, Langkawi adalah yang paling terendah.
"Kalau kita tengok kadar tambang Langkawi ke Kuala Kedah atau Kuala Kedah ke Langkawi untuk penumpang tempatan RM26.50 berbanding Mersing ke Tioman dengan jarak yang sama tetapi harga tiket sehala RM60.
"Hampir dua tahun kami kenakan kadar tambang paling rendah, bagaimanapun kos operasi itu kami yang tanggung dengan harga diesel industri yang dibenarkan pihak kerajaan," jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengurus Besar Ferry Line, Dr Baharin Baharom ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, pihaknya menyedari wujud rungutan serta rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna berhubung pelaksanaan catuan perjalanan feri.
Bagaimanapun, tegas beliau, situasi ini tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan yang mencabar ini.
Terdahulu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan mendesak agar konsortium pengusaha feri di Pulau Langkawi untuk segera menghentikan catuan trip perjalanan feri ketika ini dan melaksanakan semula perjalanan feri sehingga lapan trip sehari.
Langkah itu adalah bagi memastikan sektor pelancongan di pulau peranginan berkenaan yang kini semakin merudum dapat diselamatkan.