MALAYSIA
Festival FGV 2025 platform perkasa peneroka Felda ke persada antarabangsa

Rastam (dua, kanan) melawat reruai pameran pada Majlis Pelancaran Festival FGV di MITEC pada Khamis. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Festival FGV 2025 yang dianjurkan sempena sambutan Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menjadi platform untuk memperkasakan dan mengetengahkan potensi komuniti peneroka ke peringkat global.
Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, menerusi penganjuran julung kali itu, ia membuktikan kerjasama kukuh terjalin antara FELDA dan FGV Holdings Berhad (FGV), sekali gus mampu membawa kedua-dua pihak mengorak langkah ke hadapan.
"Dengan kekuatan kedua-duanya, FELDA dan FGV akan melangkah ke persada dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival FGV 2025 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman.
Ahmad Shabery, berkata festival lima hari yang bermula semalam diadakan di bawah Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta FELDA.Sementara itu, Fakhrunniam berkata, penyertaan FGV dalam MK3D mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasakan peneroka Felda, menyokong agenda luar bandar serta menyerlahkan potensi industri sawit di Malaysia.
"Festival FGV 2025 cukup dekat di hati kami kerana ia menghimpunkan usaha, semangat dan sumbangan luar biasa peneroka serta pekebun kecil yang menjadi tulang belakang kepada FGV yang telah menyumbang lebih 70 peratus bekalan buah tandan segar ke kilang-kilang FGV.
"Acara ini bukan sahaja ruang untuk kami menghargai mereka, tetapi juga platform untuk mengetengahkan peranan besar FGV dalam industri sawit negara, menyebar luas kebaikan serta kepelbagaian produk berasaskan sawit," katanya.
Pada majlis itu, FGV turut melancarkan aplikasi permainan mudah alih pertama di dunia berasaskan agrikomoditi lestari iaitu FGV Edugames yang memfokuskan mengenai pertanian sawit, impak alam sekitar serta sosial dan tadbir urus (ESG) secara interaktif.
Permainan seperti Weevil Hero, Ladang Defence dan Waste to Wealth yang terdapat dalam FGV Edugames memperkenalkan elemen kelestarian, biodiversiti dan ekonomi kitaran dengan pendekatan pembelajaran yang lebih kreatif dan ia boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play.
Selain itu, festival berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti menarik antaranya pameran inovasi dan teknologi moden dalam sektor agrokomoditi yang menampilkan inisiatif FGV dalam automasi, pendigitalan dan tenaga boleh diperbaharui.
Ia turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik untuk semua peringkat masyarakat termasuk persembahan artis, sesi Sembang Kuali bersama pempengaruh media sosial serta demonstrasi masakan bersama cef selebriti.
Pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah istimewa bernilai lebih RM100,000 menerusi cabutan bertuah dan promosi khas sepanjang festival dengan hadiah utama termasuk skuter elektrik, peralatan rumah dan barangan eksklusif kedai FGV.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami