KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menganjurkan Festival Mega i LINDUNG u sebagai platform untuk mendekatkan masyarakat dengan kepentingan perlindungan diri, keluarga dan kewangan menerusi pendekatan yang lebih santai serta mesra komuniti.
Ketua Cawangan Penjenamaan, Media dan Perhubungan Awam PERKESO, Tengku Datuk Khalidah Tengku Bidin berkata, festival itu diwujudkan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan merancang masa depan, khususnya dalam aspek perlindungan sosial.
Menurut beliau, ramai yang menyedari kepentingan perlindungan sosial namun belum mengambil langkah sewajarnya untuk memahami atau merancang perlindungan yang sesuai untuk diri dan keluarga.
“Festival Mega i LINDUNG u ini adalah satu platform untuk kita mendekatkan masyarakat dengan kesedaran tentang perlindungan diri, keluarga dan kewangan tetapi dalam suasana yang lebih santai dan menyeronokkan,” katanya dalam AWANI Pagi, pada selasa.
Beliau berkata, perlindungan tidak seharusnya dilihat sekadar berkaitan polisi atau angka semata-mata, sebaliknya melibatkan kesejahteraan individu dan orang tersayang.
“Inspirasi utamanya ialah kita melihat masih ramai yang tahu perlindungan itu penting, tetapi mungkin belum benar-benar mengambil langkah untuk memahami atau merancangnya.
“Bagi kami, perlindungan bukan hanya tentang angka atau polisi. Ia sebenarnya tentang orang yang kita sayang, keluarga kita dan ketenangan fikiran untuk menghadapi perkara yang tidak dijangka,” katanya.
Menurut Tengku Khalidah, festival berkenaan turut memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat berkaitan perlindungan sosial, pekerjaan, keselamatan kewangan dan perancangan masa depan secara lebih dekat.
Beliau menggalakkan orang ramai hadir dengan fikiran terbuka kerana maklumat yang diperoleh mungkin mampu memberi impak besar kepada kehidupan mereka pada masa depan.
“Paling penting, saya galakkan pengunjung datang dengan mindset terbuka. Mungkin ada sesuatu yang kita rasa kecil hari ini, tetapi sebenarnya boleh memberi kesan besar kepada masa depan kita,” katanya.
Festival Mega i LINDUNG u merupakan antara inisiatif PERKESO bagi meningkatkan literasi perlindungan sosial serta memperkukuh kesedaran rakyat mengenai kepentingan persediaan menghadapi risiko kehidupan dan pekerjaan.
Marilah sama-sama hadir ke festival ini pada 18,19, dan 20 September ini di Strand Mall Damansara.