KUANTAN: Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) bercadang membangunkan perkampungan untuk individu autistik dewasa yang tiada tempat bergantung di Pahang
Hasrat itu dizahirkan susulan keberangkatan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bagi menyempurnakan Majlis Jualan Amal NASOM Kuantan 2026 di Taman Gelora di sini, hari ini.
Penaung NASOM Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin berkata cadangan pembangunan perkampungan itu bertujuan memastikan individu autistik berusia 30 hingga 50 tahun, khususnya mereka yang sudah tidak lagi mempunyai penjaga mendapat tempat tinggal bersesuaian dan penjagaan berterusan.
Beliau berkata pusat berkenaan dicadangkan mampu menempatkan kira-kira 200 penghuni dengan kos pembangunan dianggarkan kira-kira RM25 juta berdasarkan kajian yang dijalankan.
“Bila ibu bapa sudah tiada, ada antara mereka yang tidak mempunyai adik-beradik atau ahli keluarga yang boleh mengambil tanggungjawab menjaga mereka. Kita mahu menyediakan tempat supaya mereka tidak terbiar,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Megat Ahmad Shahrani berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan tanah seluas dua hektar dan berharap cadangan itu mendapat perhatian dan sokongan.
Beliau berkata Pahang juga berpotensi menjadi penempatan untuk individu autistik dari seluruh negara dan tidak hanya mereka yang berasal dari negeri itu.
“NASOM turut berusaha mendapatkan sokongan kewangan daripada syarikat korporat dan badan berkaitan bagi membiayai projek berkenaan, namun penyediaan tanah menjadi keperluan utama sebelum usaha mengumpul dana dapat dipergiat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kos operasi pusat NASOM di seluruh negara mencecah kira-kira RM7 juta setahun, sedangkan kutipan yang diperoleh hanya sekitar RM4 juta, menyebabkan persatuan itu perlu mencari tambahan RM3 juta setiap tahun.
Beliau berkata kos menyediakan pendidikan dan terapi untuk individu autistik adalah tinggi kerana pendekatan pembelajaran memerlukan perhatian lebih khusus, dengan nisbah pengajar kepada pelajar yang rendah bagi memastikan keperluan setiap individu dapat dipenuhi.
“NASOM bagaimanapun berusaha memastikan yuran yang dikenakan kekal mampu dibayar oleh setiap lapisan masyarakat, selain menyediakan bantuan kepada keluarga kurang berkemampuan berdasarkan penilaian keadaan mereka,” katanya.
-- BERNAMA