KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), melancarkan pertandingan menulis esei peringkat kebangsaan di bawah inisiatif SMART4Climate, kempen kesedaran dan pendidikan iklim kumpulan yang pertama.

Dijenamakan sebagai ‘Write4Climate’, pertandingan menulis esei tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai perubahan iklim, dan akan berlangsung sehingga 30 November 2021.

Menurut kumpulan, peserta bebas untuk memilih tajuk berkaitan dengan tema yang dinyatakan iaitu ‘Peranan Malaysia dalam Mengehadkan Peningkatan Suhu Global di Bawah Paras 1.5°C’.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, Write4Climate membuka peluang bagi orang awam mengekpresikan pendapat dan pandangan mereka mengenai isu perubahan iklim yang melanda dunia pada masa kini.

“Mata pena lebih tajam daripada mata pedang. FGV yakin pertandingan Write4Climate ini merupakan platform yang konstruktif untuk membantu meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim dalam kalangan warga Malaysia, terutamanya golongan belia.

“Dengan mendorong kebebasan bersuara melalui penulisan mengenai isu-isu global yang kritikal seperti perubahan iklim, orang awam dan golongan belia diperkasa untuk menjadi pemangkin pembinaan negara dan menyumbang kepada agenda iklim nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Write4Climate dianjurkan bersempena Hari Alam Sekitar Negara yang akan datang pada 21 Oktober 2021, dan juga Persidangan Perubahan Iklim Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-26 (COP26) yang dijadualkan berlangsung di Glasgow November ini.

Pertandingan dibuka kepada semua pelajar sekolah menengah yang berumur 13 hingga 17 tahun, dan juga kepada orang awam yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Esei yang dihantar harus ditulis di dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu melalui dua kategori utama iaitu pelajar sekolah atau orang awam.

Bagi setiap kategori, pemenang utama akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan memperolehi hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 dan RM500.

Hadiah wang tunai sagu hati berjumlah RM200 turut diberikan kepada sepuluh peserta pilihan dengan semua peserta akan menerima sijil penyertaan daripada FGV.

Mengulas mengenai kerjasama FGV dengan pihak KASA, Mohd Nazrul berkata, mereka yakin tindakan secara kolektif dan bersama oleh pihak kerajaan dan sektor swasta mampu merealisasikan kejayaan agenda tindakan perubahan iklim negara.

Dalam masa sama, kumpulan turut mengalu-alukan dan menyokong Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang diumumkan baru-baru ini di mana menyaksikan komitmen kerajaan mementingkan aspek kelestarian dan tindakan perubahan iklim.

Ujar Mohd Nazrul, pelan negara tersebut itu juga dilihat tepat pada masanya dan amat penting dalam menangani isu perubahan iklim yang melanda dunia.


Artikel asal di DagangNews.com