Skip to main content

Malaysia

FGV lantik firma audit bebas perkukuh tadbir urus kumpulan

61748254431_TBFGV.jpg
Felda berkata proses pelantikan firma audit bebas sedang giat dijalankan ke atas beberapa buah anak syarikat yang lain. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), FGV Holdings Bhd (FGV) melantik sebuah firma audit bebas bagi menjalankan forensik audit berhubung perkara-perkara khusus melibatkan sebuah entiti yang mempunyai hubungan korporat dengan kumpulan.

Dalam satu kenyataan, Felda berkata pada masa yang sama, proses pelantikan firma audit bebas sedang giat dijalankan ke atas beberapa buah anak syarikat yang lain.

“Pelantikan ini dilaksanakan selaras dengan saranan Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jawatankuasa Khas Hala Tuju Felda 2030. 

“Langkah ini dirangka khusus untuk menambah baik tahap tadbir urus Kumpulan Felda demi kelestarian agensi tersebut,” katanya. 

Menurutnya, Felda akan terus meneliti keperluan untuk melantik firma audit bebas bagi melaksanakan pengauditan forensik secara profesional dan menyeluruh ke atas Felda dan semua organisasi di bawah Kumpulan Felda.

Inisiatif pengauditan forensik terhadap Felda mula dilaksanakan sejak 2019 dengan melantik Tetuan Ernst & Young (EY) dengan dapatan laporan audit berkenaan dibentangkan di Parlimen melalui Kertas Putih Felda pada 2020.

“Pelaksanaan audit terbaharu ini mencerminkan komitmen berterusan pengurusan Kumpulan Felda dalam memperkukuh aspek tadbir urus, akauntabiliti, ketelusan dan pematuhan di semua peringkat operasi. 

“Felda kekal tegas dengan pendiriannya untuk memastikan kepentingan organisasi serta kesejahteraan peneroka sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya. 

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement