KUCHING: Filem Belaban Hidup - Infeksi Zombie memenangi anugerah Filem Feature Terbaik di Karnival Filem Dunia Singapura hari ini.

Cerita yang mengisahkan sekumpulan anak yatim dikurung untuk menjadi bahan uji kaji oleh seorang saintis gila mencari perlindungan di rumah panjang itu menggabungkan elemen seram dan aksi masyarakat Dayak di Sarawak.

Pengambaran filem berunsurkan adegan pertempuran yang melibatkan penduduk Iban di rumah panjang itu dilakukan di Semenanjung dan pedalaman Miri, Sarawak memberi nafas baru kepada industri perfileman tempatan.

Belaban Hidup menampilkan artis tempatan Pekin Ibrahim, Altimet, Pablo Amiro, Cassidy Pangau serta pelakon Indonesia, Tegar dan pelakon kelahiran Slovakia, Katrina Grey.

Bagi pengarah filem Ray Lee, dia yakin kehebatan dan persembahan pelakon tempatan akan memberi pengalaman baharu buat penonton.

Malah penggunaan bahasa Iban diselitkan dengan pakaian tradisi serta cara hidup bangsa Dayak menyerlahkan keistimeeaan filem tersebut.

“Bagi saya ini adalah satu kejutan yang mana bakat tempatan setaraf dengan bakat antarabangsa.

“kita punya lakonan, kita punya ekspresi emosi memang bertaraf antarabangsa cuma kita diberi satu platform ataupun publisiti yang luas kita mampu menembus dunia menggunakan filem yang memaparkan budaya-budaya Malaysia cukup kaya," katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Sementara itu rakan penerbit, Misha Minut Pangau mendedahkan idea untuk menghasilkan filem itu bermula sejak tahun 2016.

Penerbit kelahiran Limbang itu percaya, filem itu melengkapi unsur pengajaran kepada komuniti untuk berbilang bangsa dan latar belakang.

“Cerita Belaban Hidup Infeksi Zombie tercetus bermula daripada permintaan kita terhadap cerita seram, dan saya rasa Malaysia memerlukan sebuah cerita yang epik dan saya cadangkan kepada pengarah Ray Lee untuk menerbitkan bersama sebuah filem yang memaparkan pahlawan dayak bertarung dengan zombie.

“Dalam filem ini penonton dapat melihat nilai murni sesama manusia contohnya kesetian dalam persahabatan, kasih sayang sesama manusia dan juga semangat perjuangan yang tak pernah berputus asa walaupun dalam situasi apapun” kata Misha.

Filem tersebut dijangka ditayangkan di pawagam tempatan menjelang Ogos 2021 namun bergantung kepada situasi semasa pandemik COVID-19 dalam negara.

Belaban Hidup - Infeksi Zombie turut dicalonkan “Best Feature Film” dan “Best Horror” dalam Festival Filem ‘International Symbolic Art’ di Rusia baru-baru ini.