Skip to main content

Politik

PRN Johor: Calon PH mahu jadikan Kluang bandar mesra pejalan kaki

Chu Poh Yee
Calon PH bagi DUN Mengkibol, Chu Poh Yee, mahu menjadikan Kluang lebih mesra pejalan kaki dengan menambah baik laluan pejalan kaki serta kemudahan berbumbung berhampiran hab pengangkutan awam. - Gambar ihsan Chu Poh Yee
Advertisement

KLUANG: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol, Chu Poh Yee mahu menjadikan Kluang sebagai bandar yang lebih mesra pejalan kaki sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, usaha itu boleh dimulakan secara berperingkat di kawasan tumpuan utama, termasuk laluan yang menghubungkan stesen KTM dan ETS dengan terminal bas.

Menurut Poh Yee, kemudahan seperti laluan pejalan kaki dan laluan berbumbung penting bagi memudahkan pergerakan penduduk, pelajar serta mereka yang pulang dari luar kawasan menggunakan pengangkutan awam.

"Saya ada visi untuk menjadikan Kluang sebagai bandar mesra pejalan kaki. Saya tahu perkara ini sangat sukar, tetapi mungkin kita boleh mulakan dari kawasan kecil.

"Sebagai contoh, dari KTM dan ETS ke stesen bas, kita boleh cuba hubungkan kawasan itu dengan laluan pejalan kaki, laluan berbumbung atau kemudahan lain," katanya kepada Astro AWANI.

Chu berkata, kemudahan itu bukan sahaja dapat meningkatkan keselesaan pengguna pengangkutan awam, malah memberi manfaat kepada golongan yang tidak mempunyai kenderaan sendiri atau ahli keluarga untuk mengambil mereka di stesen.

"Ini antara perkara yang saya benar-benar mahu usahakan, terutama untuk pelajar dan mereka yang pulang dari luar kawasan," katanya.

Pada PRN Johor kali ini, DUN Mengkibol menyaksikan pertandingan dua penjuru membabitkan Chu daripada PH-DAP dan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Yap Zhi Peng.

DUN Mengkibol sebelum ini dimenangi PH-DAP menerusi Chew Chong Sin pada PRN Johor 2022 dengan majoriti 10,107 undi selepas menewaskan Kelly Chye Pei Yee daripada BN-MCA dan Wong Chan Giap daripada Perikatan Nasional (PN).

Must Watch Video

Advertisement